KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang juruteknik lelaki daripada pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak saudara perempuannya pada tahun 2021.
Hakim Iris Awen Jon memerintahkan demikian di akhir kes pendakwaan hari ini selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang berusia 42 tahun.
Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang melibatkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabit bersalah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu sekitar Januari 2021 hingga Mei 2021 dalam sebuah rumah di Petra Jaya.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia empat tahun dengan cara menyentuh kemaluan mangsa.
Seramai enam orang saksi dipanggil sepanjang perbicaraan kes yang berakhir pada 25 Julai lepas.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ruvinasini Pandian, manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Rahman Mohd Hazmi.

