PADA 18 April lalu, saya berpeluang menyaksikan majlis perkahwinan abang saudara saya, Mark Dennis dan pasangannya, Low Sze Sheen, yang berlangsung mengikut adat Orang Ulu di Miri. Majlis tersebut berlangsung dengan meriah dan penuh adat istiadat.
Sebenarnya, sudah beberapa tahun saya tidak menyaksikan upacara perkahwinan adat Orang Ulu.
Perkahwinan adat Orang Ulu juga tidak asing bagi saya memandangkan saya sendiri merupakan Orang Ulu daripada suku Kenyah.
Daripada lima orang adik-beradik saya yang sudah mendirikan rumah tangga, abang sulung saya ialah satu-satunya yang mengadakan perkahwinan adat Orang Ulu.
Selain itu, tidak semua majlis perkahwinan yang saya hadiri menyelitkan upacara perkahwinan adat kerana upacara ini dikatakan “mahal”.
Ya, ia dianggap mahal kerana kosnya melibatkan hantaran adat bernilai tinggi, perbelanjaan kenduri yang besar serta pematuhan terhadap pelbagai peringkat upacara tradisional.
Perkahwinan adat Orang Ulu juga dikatakan ‘mahal’ kerana kos yang tinggi sering dikaitkan dengan pelbagai elemen wajib dalam adat tersebut.
Antaranya termasuklah hantaran tradisional bernilai tinggi seperti gong, barang tembaga dan manik pusaka.
Bagi masyarakat Orang Ulu, gong dan barang tembaga merupakan kepala hantaran utama yang sangat bernilai serta melambangkan status sosial keluarga berkenaan.
Manik pusaka pula merujuk kepada manik-manik lama yang diwarisi secara turun-temurun dan sering menjadi sebahagian daripada hantaran.
Manik ini amat sukar diperoleh pada hari ini kerana ia bukan manik biasa yang boleh dibeli di kedai kraf tangan.
Selain itu, persalinan tradisional turut menjadi antara elemen penting dalam perkahwinan adat Orang Ulu.
Kedua-dua pengantin biasanya menggayakan pakaian tradisional yang sarat dengan manik dan motif Orang Ulu, serta ditempah khas untuk majlis tersebut.
Pakaian wanita dihiasi dengan manik-manik halus dan topi yang diperbuat daripada bulu burung kenyalang.
Kaum lelaki pula memakai pakaian daripada kulit kayu yang dihiasi manik, kalung gigi beruang dan topi bulu burung.
Semua pengiring kedua-dua mempelai, sama ada lelaki mahupun wanita, juga perlu mengenakan pakaian tradisional Orang Ulu.
Namun, ada sesetengah keluarga yang tidak memiliki set pakaian tradisional lengkap, maka mereka biasanya akan menyewa pakaian tersebut.
Seterusnya ialah pematuhan terhadap pelbagai peringkat upacara tradisional.
Setiap langkah dalam upacara adat ini perlu dipatuhi dan akan disaksikan oleh penjaga adat atau ketua kaum.
Apabila semua langkah tersebut dipatuhi, barulah perkahwinan itu diiktiraf dari segi adat.
Bagaimanapun, tidak semua pasangan berpeluang mengadakan upacara berkenaan meskipun dia daripada kaum Orang Ulu.
Hal ini kerana terdapat banyak prosedur yang perlu dipatuhi memandangkan upacara tersebut melibatkan adat.
Selain itu, tidak semua pasangan muda hari ini mengadakan majlis sedemikian kerana ramai yang lebih memilih cara perkahwinan moden.
Saya boleh katakan upacara perkahwinan adat abang saudara saya ini merupakan satu momen yang amat bermakna.
Upacara tersebut secara tidak langsung membantu memelihara adat Orang Ulu, khususnya perkahwinan adat, daripada pupus ditelan zaman.
Menyaksikan upacara perkahwinan Mark Dennis dan Low Sze Sheen juga mengingatkan saya tentang kekayaan adat istiadat Orang Ulu serta warisan yang diperturunkan oleh nenek moyang.
Saya akui, pengalaman itu menimbulkan rasa bangga dalam diri kerana saya anak Orang Ulu dan inilah asal usul saya.
Berkongsi mengenai upacara perkahwinan adat abang saudara saya itu, dia merancang majlis tersebut kira-kira tiga bulan lebih awal, iaitu bermula pada Disember 2025 sebelum majlis berlangsung pada 18 April lalu.
Adik perempuannya, Adeline, bertindak sebagai perancang majlis perkahwinan berkenaan.
Menurut Mark, yang merupakan anak kacukan Iban sebelah bapa dan Kenyah sebelah ibu, dia dan isterinya mahu mengadakan majlis perkahwinan adat Orang Ulu kerana mereka menginginkan majlis yang mampu meninggalkan kenangan indah.
“Sheen juga berminat untuk melihat adat Kenyah, sape dan tarian ngajat Kenyah.
Tambahan pula, kami berdua tidak dapat berkahwin di gereja, jadi kami mahu mengadakan majlis yang indah sebagai pengganti kepada upacara tersebut,” kata Mark sambil memberitahu isterinya, Sheen, ialah wanita Cina yang berasal dari Bukit Payung, Kuala Terengganu.
Majlis yang berlangsung di Eastwood Valley Golf & Country Club, Miri itu dihadiri kira-kira 280 tetamu daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa, termasuk bekas pensyarah Mark dari Institute of Science Tokyo, Profesor Emeritus Satoshi Chiba.
Bekas pensyarahnya itu terbang dari Jepun bersama-sama isterinya semata-mata untuk meraikan kehidupan baharu bekas pelajar kesayangannya, Mark.
Menurut Mark, Profesor Satoshi sangat gembira dan teruja menyaksikan majlis perkahwinan adat Orang Ulu tersebut kerana itu merupakan pengalaman pertama beliau dan isterinya melihat upacara adat sedemikian secara langsung serta penuh tradisi.
“Kamu mempunyai ibu bapa yang baik, saudara-mara dan ramai kawan. Ini satu majlis yang baik.
Kami sangat menikmatinya. Saya akan menyimpan sebahagian daripada kebahagiaan kamu dalam hidup saya,” kata Satoshi Chiba melalui aplikasi LINE kepada Mark pada hari tersebut.
Dalam kolum akan datang, saya akan berkongsi dengan lebih terperinci mengenai upacara perkahwinan adat Orang Ulu, khususnya yang melibatkan peringkatperingkat upacara perkahwinan adat tersebut. upacara ini dikatakan “mahal”.
Ya, ia dianggap mahal kerana kosnya melibatkan hantaran adat bernilai tinggi, perbelanjaan kenduri yang besar serta pematuhan terhadap pelbagai peringkat upacara tradisional.
Perkahwinan adat Orang Ulu juga dikatakan ‘mahal’ kerana kos yang tinggi sering dikaitkan dengan pelbagai elemen wajib dalam adat tersebut. Antaranya termasuklah hantaran tradisional bernilai tinggi seperti gong, barang tembaga dan manik pusaka.
Bagi masyarakat Orang Ulu, gong dan barang tembaga merupakan kepala hantaran utama yang sangat bernilai serta Orang Ulu, khususnya yang melibatkan peringkatperingkat upacara perkahwinan adat



