MIRI: Kebakaran hutan di kawasan Taman Negara Niah yang berlarutan selama tiga hari sejak Isnin lalu akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, operasi pemadaman itu dilaksanakan dari udara menggunakan helikopter Unit Udara JBPM bagi memadamkan kebakaran di kawasan berbukit yang sukar diakses.
“Kebakaran yang dipercayai berpunca daripada sambaran petir itu dilaporkan pada jam 2 petang Isnin di dua lokasi, iaitu lereng bukit berhampiran Traders Cave dan Kuala Hangus yang merupakan sebahagian daripada Gua Besar di Taman Negara Niah,” katanya dalam kenyataan.
PGO menambah, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah tiba di lokasi pada jam 2.07 petang sebelum menjalankan penilaian terhadap situasi kebakaran tersebut.

Bagaimanapun, katanya, anggota bomba terpaksa berjalan kaki hampir empat kilometer melalui laluan berbatu dan curam sebelum mendapati kebakaran berlaku di puncak bukit batu kapur, sekali gus menyukarkan usaha pemadaman secara darat.
“Keadaan muka bumi yang mencabar menyebabkan operasi pemadaman tidak dapat dilaksanakan secara langsung.
“Sehubungan itu, pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan lain. Hasil pemantauan mendapati kebakaran tidak mengancam kawasan penempatan penduduk,” katanya.
PGO berkata, sebagai langkah keselamatan, JBPM bersama Sarawak Forestry Corporation (SFC) mengambil keputusan menutup sementara Taman Negara Niah kepada orang awam, khususnya laluan denai menuju Traders Cave, sebelum memohon bantuan Unit Udara JBPM bagi melaksanakan operasi pemadaman dari udara.

Katanya, helikopter MI-171 kemudian digerakkan ke lokasi selepas mendapat kelulusan dan memulakan operasi pengeboman air (water bombing) dengan mengambil bekalan air dari Sungai Niah.
“Operasi dari udara diteruskan sehingga hari ketiga sebelum keseluruhan kawasan kebakaran berjaya dipadamkan.
“Pada hari terakhir operasi, helikopter berkenaan memulakan misi pada jam 9.45 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari selepas pasukan bomba mengesahkan semua kawasan kebakaran berjaya dipadamkan.
“Sepanjang operasi hari terakhir, sebanyak 20 kali pengeboman air dilaksanakan dengan menggunakan 26,000 liter air dalam tempoh tiga jam 36 minit,” katanya.

Menurut PGO lagi, kebakaran yang melibatkan kawasan seluas 1.62 hektar itu berjaya dipadamkan sepenuhnya, sekali gus menjadikan baki kawasan yang masih terbakar kini sifar hektar.
Operasi katanya turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SFC, sekali gus memastikan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas tiga hari operasi dijalankan.



