Kedup perlu KMKK Iban dan Melayu

KUCHING: Keperluan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di kawasan Kedup perlu diberi perhatian segera, kata Adun Kedup Martin Ben.

Menurut beliau, KMKK memainkan peranan penting dalam menghubungkan komuniti dengan kerajaan.

“Justeru, saya memohon agar Kerajaan Sarawak mempercepatkan pelantikan Temenggong dan Pemanca untuk komuniti Iban serta Temenggong untuk komuniti Melayu.

“Jawatan berkenaan masih tidak terisi sejak penubuhan Bahagian Serian dalam tahun 2014 agar dengan adanya KMKK ini, ia akan mempercepatkan penyelesaian isu yang dihadapi oleh masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan (2021), 2020 sempena persidanga Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Martin menyampaikan permintaan Persatuan Ketua Komuniti Bidayuh yang meminta Kerajaan Sarawak untuk menilai semula elaun mereka.

“Walaupun mereka menghargai bayaran yang diterima namun, mereka merasakan bayaran tersebut masih tidak setimpal dengan bebanan kerja mereka yang semakin meningkat,” jelasnya.

Suara Sarawak