MUKAH: Kejohanan Wushu Taolu dan Wushu Sanda adalah platform penting untuk mencungkil bakat baharu atlet tempatan agar mampu bersaing ke peringkat lebih tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata pada tahun ini penyertaan adalah lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.
“Dengan penyertaan yang semakin ramai, terbukti bahawa sukan ini mendapat sambutan masyarakat dan semakin berkembang.
“Kejohanan ini bukan sahaja mengukur kemampuan fizikal atlet, malah melatih disiplin diri yang menjadi kunci utama kejayaan.
“Saya yakin dengan semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh peserta, bakat mereka mampu diasah sehingga ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Wushu Taolu dan Wushu Sanda Terbuka 2025 di Dewan CENTEXS Mukah, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau turut menegaskan bahawa dalam setiap kejohanan, semangat juang dan disiplin perlu menjadi keutamaan.
Jelasnya, jika menang jadikan ia motivasi untuk terus melangkah jauh, manakala jika kalah itu bukan kegagalan sebaliknya peluang untuk bangkit lebih kuat pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Royston turut menyentuh mengenai isu buli dan melantik peserta kejohanan tersebut sebagai duta antibuli di sekolah masing-masing.
“Buli adalah musuh kita bersama dan saya yakin anak-anak Sarawak menolak budaya ini kerana ia membawa kesan negatif kepada diri sendiri serta orang lain.
“Atlet wushu yang menjadi duta antibuli boleh menjadi contoh teladan kepada yang lain di sekolah masing-masing kelak, seterusnya membantu membendung gejala buli sejak awal.
“Sekiranya terdapat kes buli di sekolah masing-masing, laporkan segera kepada mereka yang bertanggungjawab untuk tindakan lanjut. Jangan takut untuk membuat laporan kerana kita mahu membendungnya lebih awal,” tambahnya.
Di samping itu, Royston turut mengumumkan geran aktiviti kepada Persatuan Wushu Mukah berjumlah RM10,000 dan berharap ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
Kejohanan Wushu Taolu dan Wushu Sanda Terbuka 2025 ini disertai oleh peserta dari Mukah, Bintulu, Miri, Sibu, Kanowit, Sarikei, Bintangor dan Kuching.
Hadir sama Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Presiden Persekutuan Wushu Sarawak Allen Wong dan Presiden Kelab Wushu Sarikei Lyde Lait.


