ARTIKEL

RAKAM KENANGAN…Yakub (belakang empat kiri) dan Adib (empat kanan) merakam kenangan bersama pemenang dalam majlis tersebut.

Kekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Umat Islam perlu menjadikan al-Quran sebagai budaya dan acuan dalam kehidupan sekali gus mendidik ahli keluarga dan anak-anak agar mencintai kitab suci ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, lakukanlah usaha yang gigih untuk mengkaji, memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran. 

“Ini terutamanya kepada anak-anak seperti menghantar mereka ke kelas pengajian al-Quran khusus Kelas Pengajian Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

“Insya-Allah dengan cara ini, mereka akan menjadi generasi yang  terdidik dengan al-Quran dan menjadi ummah diredai serta dirahmati Allah SWT di dunia dan akhirat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menangguhkan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Mukah 2024, di Masjid Setia Raja, di sini, semalam.

TAHNIAH…Yakub (lima kanan) menyampaikan hadiah kepada johan qariah dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Mukah 2024, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, sempena majlis ini, Yakub mengajak masyarakat Islam untuk kembali menjadi golongan yang sentiasa berpegang teguh dengan al-Quran.

Jelasnya, ini adalah sebagai landasan dan pegangan kita untuk memajukan masyarakat agar menjadi ummah yang berkualiti dan tidak menyimpang daripada ajaran-ajaran Allah SWT.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua umat untuk bersama-sama mempertingkatkan serta mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Sarawak.

Sementara itu, Pegawai Agama Islam Bahagian Mukah merangkap Pengerusi Pengelola Majlis, Mohammad Adib Saini berkata, kita bukan sekadar mendengar bacaan daripada qari dan qariah, tetapi turut menghayati dan memahami pengajaran yang dibawa oleh al-Quran supaya ia dapat menjadi panduan dalam kehidupan.

“Majlis ini juga bukti usaha kerajaan Sarawak untuk memartabatkan serta menerapkan pemahaman Al-Quran agar ia sentiasa dijadikan pegangan dan rujukan kita semua.

“Diharapkan usaha tidak terhenti setakat ini dan kita berusaha memberi pendedahan di peringkat kampung terutamanya mempelajari taranum yang semakin pudar dalam kalangan generasi muda,” katanya lagi.

Majlis ini juga telah menyaksikan seramai 10 peserta terdiri daripada empat lelaki dan enam perempuan.

Bagi qari, johan disandang oleh Abang Ahmad Abang Mantali, naib johan dimenangi oleh Shahrizal Musa dan  tempat ketiga Rosli Ali.

Manakala, bagi qariah, johan dimenangi oleh Syarifah Nur Ruqayyah Syed Zainon, naib johan disandang oleh Meryam Bol dan tempat ketiga ialah Rajemah Jair.

Johan membawa pulang wang tunai RM700, naib johan RM500 dan tempat ketiga RM300. Kesemua pemenang turut membawa pulang piala, sijil penyertaan, sumbangan daripada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS),  Bank Rakyat dan Pusat Khidmat Parlimen Mukah.

JOHAN…Yakub menyampaikan hadiah kepada johan qari dalam majlis tersebut.

BERITA LAIN

RUAI

SUKAN

BERITA TERBARU

RUAI

SUKAN