BINTULU: Banjir besar yang melanda hampir keseluruhan kawasan di Bintulu, termasuk Kampung Kemunting, pastinya akan sentiasa terpahat dalam ingatan keluarga Muhammad Amir Firdaus Abdullah, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Assyakirin.
Kediaman yang selama ini tidak pernah mengalami banjir itu kali ini dimasuki air sehingga memasuki ruang tamu melepasi paras dada.
“Biasanya rumah kami selamat, paling tinggi air hanya memasuki ruang ‘car porch’.
“Tapi kali ini, air masuk dalam rumah, barang-barang banyak yang rosak, empat unit motosikal tenggelam, kereta juga turut musnah,” ujarnya ketika ditemui.

Pada saat kejadian, keluarga ini berada di Kuching, meninggalkan hanya seorang anak lelaki mereka di rumah.
“Kami terpaksa mempercepatkan majlis salah seorang anak yang sepatutnya berlangsung pada 30 Januari, dan bergegas pulang ke Bintulu pada hari yang sama untuk melihat keadaan rumah selaps dimaklumkan anak lelaki kami itu,” tambahnya.
“Keadaan yang berlaku di luar jangkaan ini membuatkan anak kami terkejut dan kini menghadapi trauma akibat kejadian tersebut.
“Dia sangat fobia, tidak sangka perkara macam ini berlaku,” katanya.
Beliau menambah, isterinya juga tidak mahu pulang ke rumah, sebaliknya menginap di hotel kerana tidak sanggup melihat keadaan rumah yang terjejas.
Kini, setelah tiga hari bertungkus-lumus membersihkan rumah dengan bantuan saudara mara dan rakan-rakan, Muhammad Amir mengakui bahawa kerja pembersihan baru mencapai 30 peratus dan masih banyak yang perlu dilakukan.
“Peralatan rumah seperti peti ais, mesin basuh, dan televisyen sudah rosak teruk akibat banjir.
“Kerja-kerja pembersihan agak perlahan, kami tak boleh buat semua dalam satu hari.
“Walaupun banyak barangan rosak, kami belum terfikir untuk menggantikannya,” ujar Muhammad Amir yang tetap cekal menghadapi cabaran tersebut.


