ARTIKEL

Poul Nanggang

Kembara dunia sastera Poul Nanggang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIRI 1

POUL Nanggang ialah seorang penulis, pendidik dan aktivis sastera yang berasal dari Limbang, Sarawak, serta berketurunan etnik Bisaya. Beliau dilahirkan pada 17 Ogos 1965. Pelibatannya dalam dunia penulisan bermula sejak di bangku sekolah rendah melalui penulisan cerita kanak-kanak yang kemudiannya pernah disiarkan menerusi radio.

Poul Nanggang menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kuala Awang, Limbang dari 1973 hingga 1978 sehingga Darjah Enam. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Limbang dan menamatkan pengajian sehingga memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1983.

Pada 1985 hingga 1987, beliau mengikuti latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak, Miri. Beliau turut menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) secara persendirian. Seterusnya, beliau memperoleh Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pertama – PBMP) dengan kepujian daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada 2002.

Dalam bidang pendidikan, Poul Nanggang berkhidmat sebagai pendidik selama hampir 38 tahun sebelum bersara wajib pada usia 60 tahun. Sepanjang perkhidmatannya, beliau dua kali menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, masing-masing pada 2004 dan 2011, serta sekali lagi pada 2020. Pada 2015, beliau dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Setia oleh Kerajaan Negeri Sarawak sebagai pengiktirafan terhadap khidmat baktinya dalam bidang pendidikan.

Pelibatan dalam dunia penulisan

Sebagai penulis, Poul Nanggang aktif menghasilkan karya dalam genre puisi, esei dan kritikan sastera, selain turut menceburi penulisan novel. Karya-karyanya telah diterbitkan dalam pelbagai akhbar, majalah dan wadah kesusasteraan, antaranya Borneo Post, Utusan Sarawak, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Nona, Wanita, Mastika, Dewan Sastera, Jendela Sarawak dan Pelita Bahasa, selain pelbagai penerbitan sastera yang lain.

Antara karya buku beliau ialah kumpulan puisi Permata Kalbu (2010), novel Memori Abadi (2010) dan kumpulan esei sastera Aksara Bernyawa (2018). Novel Memori Abadi merupakan antara empat novel yang terpilih dalam saringan akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan kemudiannya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Novel tersebut turut dicetak semula pada 2015. Kumpulan puisi pertama beliau, Alak Betatar (AB), diterbitkan oleh Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) pada 2000.

Selain penerbitan dalam bentuk buku, karya Poul Nanggang turut dimuatkan dalam pelbagai antologi puisi, antaranya Peta Seminan (1998), Gema Membelah Gema (1998 dan 2000), Antologi Cikgu (1999), Sejambak Bunga Emas (2000), Kota Asas Tamadun Bangsa (2001), Wajah Kita (2002), Pelagus terbitan DBP Sarawak dan Angkerik terbitan KEMUDI.

Antara karya beliau yang mendapat perhatian ialah puisi Jambatan Long Lama Pemangkin Pembangunan yang diterbitkan dalam Dewan Sastera pada November 2019. Puisi tersebut turut dibaca oleh Dennis Ngau ketika perasmian jambatan berkenaan di Long Lama. Beliau juga pernah menyumbangkan puisi dalam antologi yang menghimpunkan karya sabah penggiat puisi terhadapan Perdana Menteri Malaysia, yang diselenggarakan oleh Datuk Jasni Matlani, Presiden BAHASA Sabah pada ketika itu.

Dalam bidang kritikan sastera, beliau pernah menerima hadiah saguhati esei kritikan sastera anjuran DBP Sarawak pada 2000 menerusi esei berjudul Kritikan Sosial dalam Novel Kelingking. Pada 2020 pula, beliau dinobatkan sebagai pemenang utama Pertandingan Menulis Resensi Buku Sastera anjuran Persatuan Penyair Malaysia peringkat ASEAN menerusi resensi terhadap novel Kelingking.

Beliau turut menghasilkan kajian berasaskan teori resepsi sastera terhadap dua karya penulis Sarawak, iaitu Berisu Budi karya Abang Daeng Abang Taha dan Bingkai Waktu karya Pharo Hakim. Selain itu, beliau pernah menerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak dalam genre puisi, cerpen dan esei kritikan.

Persatuan, kegiatan kemasyarakatan

Di samping kegiatan penulisan, Poul Nanggang aktif dalam persatuan penulis dan pelbagai kegiatan kemasyarakatan. Beliau menjawat jawatan Ketua II Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) sejak 2003 hingga kini.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Persatuan Bisaya Sarawak Cawangan Braang/Bambangan/Kuala Awang (BBKA), Limbang dari 2002 hingga 2006. Selain itu, beliau pernah menjawat Pengerusi Biro Sukan dan Rekreasi OUNA Miri, serta Setiausaha Persatuan Bisaya Sarawak Cawangan Miri, Kesatuan Guru Sarawak, Miri dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

Pelibatan beliau dalam kegiatan bahasa dan sastera bukan sahaja terbatas pada kegiatan di Sarawak, malah meliputi pelbagai program kebangsaan dan serantau. Beliau pernah mewakili PUTERA dalam persidangan, kolokium, simposium, seminar dan pertemuan penulis di Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Pembentang, ahli panel dan fasilitator

Poul Nanggang pernah diberikan kepercayaan membentangkan kertas kerja dalam pelbagai forum bahasa, sastera dan budaya. Antaranya ialah kertas kerja Bermukim di Daerah Puisi pada Simposium Penulis Pelbagai Kaum III di Seremban, Negeri Sembilan pada 2001.

Pada tahun sama, beliau turut membentangkan kertas kerja Suatu Pandangan Ringkas tentang Bahasa Melayu dalam Pertemuan Dunia Melayu di PWTC, Kuala Lumpur, atas undangan GAPENA. Beliau juga membentangkan kertas kerja Isu-Isu Pembangunan dalam Tapak Web ‘Serambi Bisaya Sarawak’ sempena Seminar Pembangunan Bisaya 2002 di Limbang.

BERITA LAIN

PEJUANG NAFKAH

Dia tidak pernah ambil tahu jika wang di saku sering berbaki cukup-cukup nyawa. Dia tidak pernah peduli kalau ringgit makin mengukuh merujuk ungkapan orang ekonomi.

GELANDANGAN

Melintasi kedai serba ada kulihаt dia berbaring santai menyesak ruang masуk ke pintu kedai pelanggan lalu-lalang memandang sinis menutup hidung. Kita ini miskin atau kaya

BERITA TERBARU