LUNDU: Isu pertambahan pusat jagaan kanak-kanak yang beroperasi tanpa pendaftaran rasmi kini menjadi perhatian serius selepas premis seumpama itu dikenal pasti berfungsi tanpa pengawasan sewajarnya serta berpotensi menjejaskan keselamatan dan kebajikan penghuni.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pusat jagaan tidak berdaftar lazimnya tidak mempunyai pengiktirafan sah daripada kementerian.
“Ia sekali gus menyebabkan premis berkenaan terlepas daripada pemeriksaan berkala selain tidak memenuhi standard penjagaan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas Lawatan Kerja Rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu dan sesi penyerahan sumbangan peralatan bagi Program Rangkaian Kasih di sini, hari ini.
Menurut beliau, situasi itu sudah lama dibimbangi pelbagai pihak termasuk agensi penguat kuasa dan aktivis kebajikan memandangkan risiko terhadap kanak-kanak semakin ketara sekiranya tidak ditangani secara tegas.
Beliau merujuk kejadian di Selayang baru-baru ini sebagai contoh apabila tindakan pantas diambil susulan dakwaan salah laku melibatkan seorang kanak-kanak.
“Hasil semakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati premis itu beroperasi secara tidak sah. Selepas laporan diterima pada 30 Mac, satu operasi dijalankan dan semua kanak-kanak di situ segera dipindahkan bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sepanjang siasatan dijalankan, kanak-kanak terlibat ditempatkan sementara di bawah jagaan ahli keluarga atau penjaga yang sesuai.
Nancy turut menegaskan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperketat kawal selia serta menutup sebarang kelemahan dalam sistem perlindungan kanak-kanak.
“Dalam masa sama, bantuan seperti rawatan perubatan dan sokongan kaunseling turut diberikan bagi membantu mereka pulih daripada pengalaman tersebut. Jika tiada penempatan segera, pihak berkuasa akan mendapatkan perintah mahkamah untuk penjagaan sementara,” jelasnya.
Beliau mengingatkan bahawa pengendalian pusat jagaan tanpa pendaftaran adalah dilarang manakala ibu bapa disaran menyemak status sesebuah pusat melalui saluran rasmi sebelum menghantar anak mereka.



