KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh peranan wanita sebagai pemangkin ekonomi negeri melalui penyediaan modal permulaan, khususnya kepada usahawan wanita.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan memahami cabaran utama yang sering dihadapi usahawan wanita, terutama mereka yang terdiri daripada ibu tunggal dan balu.
“Modal permulaan disediakan kepada mereka, dan ini telah dilaksanakan bersama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
“Saya menyalurkan peruntukan kepada kementeriannya dan melalui kementerian tersebut, bantuan diberikan kepada ibu tunggal dan balu yang mempunyai kemahiran tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog Leadership Soiree Dinner (Sarawak Women of Tomorrow 2025), di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata hasil daripada peruntukan yang disalurkan itu, ramai penerima telah berjaya, sekali gus mendorong kerajaan menambah peruntukan berkenaan apabila diperlukan.
Menurutnya, ada antara mereka yang kini membuka salun, mengusahakan kraftangan dan berjaya dalam bidang perniagaan masing-masing.
Sehubungan itu, Abang Johari menegaskan bahawa kejayaan wanita tidak diukur berdasarkan bantuan kerajaan semata-mata, tetapi melalui usaha berterusan untuk meningkatkan kemahiran dan membina keupayaan kendiri.
Pada masa yang sama, beliau menekankan kepentingan pengurusan masa yang lebih berkesan, terutama bagi wanita yang mengimbangi tanggungjawab keluarga dan kerjaya.
“Kini, bidang yang dahulunya dianggap didominasi lelaki turut disertai ramai wanita kerana majoriti mereka merupakan graduan universiti, termasuk dalam bidang kejuruteraan.
“Ia bergantung kepada keupayaan dan kapasiti individu kerana mereka layak,” katanya.
Tambahnya, wanita mempunyai kemampuan untuk memegang jawatan penting, justeru pengurusan masa antara keluarga dan kerjaya amatlah penting.



