PAKAN: Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, menegaskan bahawa keutamaan kepimpinan di kawasan Pakan dan Julau bukan tertumpu kepada politik semata-mata, sebaliknya memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat melalui kerjasama erat antara pemimpin dan komuniti.
Menurut beliau, hubungan baik antara pemimpin masyarakat, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sentiasa diperkukuh demi pembangunan dan kemajuan rakyat, walaupun berbeza parti politik.
“Kita bukan bermain politik setiap hari, tetapi lebih kepada kesejahteraan rakyat. Kita dalam kerajaan sentiasa ada cara untuk bersama walaupun parti berbeza kerana matlamat kita sama, iaitu membangunkan negara dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Mangkung Tiang di rumah panjang baharu Tuai Rumah Janting Dundang di Lemujan, Pakan, pada Sabtu lalu.
Larry turut memuji semangat penduduk rumah panjang tersebut yang berjaya membina sebuah rumah panjang baharu yang moden serta mengekalkan semangat perpaduan dan kerjasama.

“Agak sukar untuk memulakan sesuatu perkara. Sebagai contoh, menanam kelapa sawit mengambil masa hampir tiga tahun sebelum memperoleh hasil. Namun selepas itu, ia akan terus berbuah sehingga 20 tahun. Begitulah perbandingan dengan usaha membina rumah panjang ini,” katanya.
Menurut beliau, pelbagai cabaran terpaksa dihadapi oleh penduduk termasuk mencari tanah, menyediakan tapak dan mendapatkan sumber kewangan sama ada melalui pinjaman atau simpanan sendiri, namun usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan.
Larry turut berharap agar perpaduan dalam kalangan penduduk terus diperkukuh dan rumah panjang yang kini mempunyai 50 pintu itu kekal menjadi antara rumah panjang terpanjang di kawasan Pakan selain Nyalak Ladong.
“Saya berharap semua penduduk sentiasa hidup harmoni dan bekerjasama, bukan sahaja dalam komuniti sendiri tetapi juga bersama rumah panjang lain,” katanya.
Sempena sambutan tersebut, Larry turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada JKKK Rumah Janting, manakala Biro Wanita menerima RM10,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti.





