ARTIKEL

Abang Johari menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara MASA yang diwakili Datuk Seri Abdullah Zaidel dengan Profesor Peter Gahan dari University of Melbourne. Foto Ramidi Subari

Kerjasama MASA–University of Melbourne: Sarawak Perluas Akses Pendidikan Global

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jalinan kerjasama antara Institut Pengurusan Sarawak (MASA) dengan University of Melbourne menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) untuk Sarjana Perniagaan, membolehkan rakyat di negeri ini mendapat akses pendidikan bertaraf dunia.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dalam dunia yang berubah pantas hari ini, negara dan wilayah yang melabur dalam pendidikan serta pembangunan bakat akan terus berjaya dan kekal berdaya saing.

Katanya, Sarawak kini melalui transformasi ekonomi yang besar dan berkembang ke arah bidang baharu seperti tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), pembuatan maju dan teknologi hijau.

“Dalam usaha menjadikan wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030, kita mesti memastikan tenaga kerja kita dilengkapi kompetensi, ciri kepimpinan dan perspektif global yang tepat.

“Kerjasama dengan institusi antarabangsa yang dihormati seperti University of Melbourne amat penting. Universiti itu diiktiraf di peringkat global atas kecemerlangan dalam penyelidikan, inovasi, pendidikan perniagaan dan kepimpinan akademik,” katanya berucap pada Majlis MoU antara MASA dengan University of Melbourne di Dewan Kenyalang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Abang Johari ketika berucap pada MoU antara MASA dengan University of Melbourne. Foto Ramidi Subari

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyaksikan pertukaran dokumen melibatkan Timbalan Setiausaha Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datuk Seri Abdullah Zaidel yang juga Presiden MASA sementara University of Melbourne diwakili oleh Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi University of Melbourne Profesor Peter Gahan.

Abang Johari berkata, pendidikan sentiasa menjadi antara pemacu paling penting kepada kemajuan dan bagi Sarawak, ia bukan sekadar memperoleh kelayakan akademik, tetapi memperkasakan rakyat dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, keyakinan dan keupayaan membentuk masa depan mereka sendiri.

Katanya, melalui kerjasama dengan MASA ini, rakyat Sarawak akan mendapat akses lebih luas kepada pendidikan bertaraf dunia dan peluang pembangunan profesional.

“Saya juga amat menggalakkan pengenalan program Sarjana Perniagaan.
Program ini akan membantu melahirkan pemimpin yang mampu mengharungi cabaran ekonomi kompleks, mengurus organisasi secara berkesan serta memacu inovasi dalam sektor awam dan swasta,” ujarnya.

Menurutnya, penekanan terhadap pembelajaran interaktif, kepimpinan strategik, kelestarian, kecerdasan buatan dalam organisasi dan pelibatan pihak berkepentingan amat relevan dengan hala tuju Sarawak hari ini.

“Inilah kemahiran dan pengetahuan yang perlu diterapkan dalam kalangan profesional, penjawat awam, usahawan dan pemimpin masa depan kita,” ujarnya.

Pada masa sama, Abang Johari turut memuji MASA atas sumbangan berterusan dalam pembangunan kepimpinan dan pendidikan eksekutif di Sarawak.

Sejak penubuhannya, Abang Johari berkata, MASA memainkan peranan penting memperkukuh keupayaan pengurusan dan profesional dalam pelbagai sektor.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU