KUCHING: Seorang ibu kepada lima anak dijatuhi hukuman penjara lima tahun dua bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas kesalahan penyalahgunaan dadah berulang.
Mariana Dan, 39, dari Kampung Tabuan Hilir, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Iris Awen Jon.
Mengikut pertuduhan, tertuduh mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah, termasuk satu kes pada tahun 2022 di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kes terbaharu, dia didakwa mengambil dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine buat kali ketiga di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 30 November 2024, kira-kira jam 3.35 petang.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1)(b) akta sama. Seksyen 15(1)(a) memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Seksyen 39C(1)(b) menetapkan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun dan maksimum tiga sebatan jika sabit kesalahan.

Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan tertuduh berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan.
Berdasarkan fakta kes, polis menahan tertuduh kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah berulang.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah, dan laporan lanjut dari Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak mengesahkan kehadiran Methamphetamine dan Amphetamine dalam sistem badannya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

