KUCHING: Petinju profesional negara, Kilat Boy, Daeloniel Mcdelon Bong @ Muhammad Asyraf Abdullah kini mengintai dua lagi kejuaraan antarabangsa apabila menyasarkan untuk merebut gelaran Persekutuan Tinju Oriental dan Pasifik (OPBF) serta gelaran Emas Majlis Tinju Dunia (WBC Gold) pada masa akan datang.
Beliau berkata, pihak pengurusannya sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa penganjur bagi menentukan kejohanan yang akan disertainya dalam masa terdekat.
“Buat masa ini, kejohanan yang akan datang masih dalam peringkat perbincangan.

“Kami masih belum mengetahui syarikat promosi yang akan menganjurkan perlawanan itu, namun sasaran saya adalah untuk memburu gelaran OPBF ataupun WBC Gold,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, di sini.
Menurutnya, beliau bersama KB Management Team menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap tahun sebagai panduan untuk terus meningkatkan pencapaian di pentas tinju profesional.
“Setiap tahun saya dan pasukan mempunyai sasaran yang perlu dicapai.
“Kami berusaha memastikan segala perancangan dapat direalisasikan tahun ini,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata pasukannya memulakan usaha mendapatkan dana bagi menampung kos penyertaan dalam kejohanan akan datang.
“Pembiayaan yang mencukupi amat penting bagi menampung pelbagai perbelanjaan termasuk kos latihan, perjalanan dan keperluan pertandingan di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Beliau turut berharap segala perancangan berjalan lancar, sekali gus membuka laluan untuk terus mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di pentas tinju profesional dunia.
Untuk rekod, gelaran OPBF merupakan antara kejuaraan profesional paling berprestij di rantau Asia-Pasifik dan bernaung di bawah Majlis Tinju Dunia (WBC).
Kejuaraan ini sering menjadi pentas penting buat petinju yang ingin membuktikan kemampuan mereka di peringkat serantau sebelum melangkah ke perebutan gelaran dunia.
Sementara itu, gelaran WBC Gold pula merupakan kejuaraan berprestij yang diperkenalkan oleh WBC bagi mengiktiraf petinju elit dalam ranking dunia. Pemegang gelaran WBC Gold lazimnya berada dalam kedudukan terbaik untuk mencabar kejuaraan dunia WBC dan sering dianggap sebagai antara pencabar utama bagi tali pinggang dunia.



