Syair Fitnah Akhir Zaman (Teknologi Penghambaan)
Prolog: Amaran Tirai Kabus
Al-kisah maka tersebutlah perkataan, suatu zaman yang belum menjelma, namun bayangnya telah lama menyapa rasa. Tatkala dunia dilenggang badai huru-hara, bumi dipijak terasa bergoncang, langit dijinjing terasa runtuh. Bukan kerana amukan alam, melainkan angkara tangan-tangan ghaib yang menyusun helah di balik tirai kekuasaan.
Mereka menciptakan sengketa demi sekeeping mandat, menghancurkan yang lama demi membina takhta yang baharu. Maka lahirlah satu ketetapan ngeri, di mana manusia bukan lagi khalifah, melainkan hamba yang dirantai kod digital, dan bumi yang luas ini mengecil menjadi syurga eksklusif buat segelintir sang durhaka. Maka inilah madah penjara masa hadapan, riwayat duka sebuah perhambaan modern…
Syair Fitnah Akhir Zaman (Teknologi Penghambaan)
I
Dengarlah kisah zaman hadapan,
Dunia kucar-kucir tiada harapan,
Angkara sang oportunis punya sindiran,
Mencipta huru-hara demi aturan.
II
Timbullah pakatan sang elit dunia,
Menyusun sistem penuh memperdaya,
Menjadi penentu segala kerjaya,
Menghamba marhaen miskin dan kaya.
III
Bukan lagi pedang mencabut nyawa,
Tetapi akal buatan (AI) menggegar jiwa,
Mata ghaib mengintip tingkah dan tawa,
Tiada rahsia yang boleh dibawa.
IV
Cip teras terbenam di dalam kulit,
Menjadi gari mencengkam sulit,
Salah melangkah hidupnya perit,
Hak disekat tiada sempat menje rit.
V
Putuslah sudah urat merdeka,
Saraf digodam akal melumpuh seketika,
Menjadi boneka mengikut angka,
Melayan nafsu sang penguasa durhaka.
Epilog: Ratapan Jiwa yang Terpasung
Maka tamatlah sudah sebuah riwayat, tatkala akal telah diserahkan kepada mesin, dan jasad telah digari cip yang tertanam dalam daging. Tiada lagi air mata yang berdarah, kerana rasa telah lama tumpul digodam algoritma. Manusia terus berjalan bagai sang kelembai, hidup pada jasad namun matinya pada jiwa.
Wahai anak cucu di zaman terkemudian, renungilah runtuhan merdeka yang telah tergadai. Di puncak menara kaca, segelintir elit tersenyum megah melihat dunia yang kini akur dalam genggaman mereka. Tinggallah marhaen di bawah sana, menjadi angka dalam pelayan gergasi, menyembah berhala teknologi dalam senyap yang abadi.
Al-syahdu, tamatlah sebuah kebebasan.
MAYA GREEN@BALANG
NADUN
Shah Alam, Selangor DE
MALAYSIA



