KUCHING: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan sebuah klinik di Matang daripada musnah dalam satu insiden kebakaran, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.42 petang.
Susulan itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dengan bantuan BBP Batu Lintang dikejarkan ke lokasi bagi operasi pemadaman.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran berlaku di sebuah bilik yang terletak di tingkat tiga bangunan klinik berkenaan.
“Api berjaya dikawal daripada merebak ke bahagian lain dan peratusan kemusnahan dianggarkan sekitar 30 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut jurucakap itu, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian yang dialami masih dalam proses siasatan pihak berkuasa.



