ARTIKEL

Krisis Kumbahan Taman Jason: Pelan Kecemasan Dua Peringkat Dilancarkan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Dua pendekatan jangka pendek dan panjang dikenal pasti bagi menangani masalah pembetungan yang berlaku ketika banjir di Taman Jason termasuk JS5 Commercial, One Villa dan Golden Villa 2 susulan sesi dialog antara wakil penduduk dengan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak (JPPS) Cawangan Bintulu, semalam.

Sesi dialog tersebut yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, menekankan keperluan penyelesaian segera terhadap isu sisa kumbahan yang melimpah ke jalan raya sehingga mencetuskan pencemaran alam sekitar serta risiko kesihatan dan keselamatan awam.|

Menurut Johnny Pang, hasil perbincangan itu memaklumkan bahawa JPPS Bintulu kini dalam proses memohon peruntukan serta merancang kerja menaik taraf sistem pembetungan sedia ada di kawasan berkenaan.

“Isu ini perlu ditangani dengan segera dan berkesan. Saya menggesa pihak berkaitan agar mempercepatkan proses kelulusan serta pelaksanaan projek dan saya akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata bagi pendekatan jangka pendek, JPPS Bintulu akan menjalankan kajian segera terhadap masalah aliran balik sisa kumbahan serta operasi pam ketika berlaku banjir.

Tambahnya, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada juga telah ditambah baik bagi mengurangkan risiko limpahan serta gangguan perkhidmatan pembetungan kepada penduduk setempat.

Johnny Pang bersama-sama wakil penduduk Taman Jason dan kawasan sekitar semasa sesi dialog bersama pihak JPPS Cawangan Bintulu, semalam.

Sementara itu, bagi penyelesaian jangka panjang, JPPS sedang mengenal pasti spesifikasi pam kekal yang sesuai untuk dipasang di lokasi strategik di kawasan tersebut.

“Pemasangan pam kekal ini dijangka membolehkan sisa kumbahan dialirkan terus ke saluran utama, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap sistem pembetungan terutama ketika hujan lebat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Johnny Pang menegaskan bahawa keberkesanan sistem pembetungan bukan hanya bergantung kepada usaha kerajaan dan agensi pelaksana, malah memerlukan kerjasama serta kesedaran masyarakat setempat.

Beliau turut menasihatkan penduduk agar mengelakkan pembuangan bahan sukar terurai seperti minyak masak, tisu basah, lampin pakai buang dan tuala wanita ke dalam saluran pembetungan bagi memastikan sistem berfungsi dengan optimum.

“Usaha meningkatkan kecekapan sistem pembetungan adalah tanggungjawab bersama. Kesedaran penduduk amat penting bagi memastikan kebersihan persekitaran sentiasa terpelihara,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU