ARTIKEL

Kuching City benam Gangwon 2-0, Aidil Sharin puji disiplin pemain

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kuching City FC membuktikan kemampuan bersaing di pentas Asia selepas melakar kemenangan bersejarah 2-0 ke atas kelab Korea Selatan, Gangwon FC dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, malam tadi.

Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berkata, kejayaan pertama skuad The Cats dalam saingan berkenaan membuktikan mereka memiliki kemampuan untuk memberikan saingan, sekali gus menjawab kritikan susulan tiga kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan sebelum ini.

TENANG…Nazmi Faiz (kanan) tenang mengawal bola biarpun menerima asakan keras pemain Gangwon FC.

Dalam masa yang sama, perubahan taktikal yang dilakukan Aidil berjaya diterjemahkan barisan pemain dengan baik, sekali gus memberikan suntikan keyakinan kepada pasukan untuk meneruskan perjuangan dalam saingan berprestij berkenaan.

“Alhamdulillah, kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini.

TERJAHAN… Perancang tengah Kuching City FC, Petrus Shitembi (kiri) diasak hebat menerusi terjahan gelongsor oleh pemain Gangwon FC.

Malam ini, mereka membuktikan kemampuan dengan keputusan serta persembahan yang cukup baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Menurut Aidil, pendekatan memberikan tekanan tinggi kepada lawan sejak awal permainan merupakan antara perancangan yang diterapkan ketika latihan selepas meneliti corak permainan Gangwon pada pertemuan pertama di Korea Selatan.

“Kami mahu memberikan tekanan kepada mereka seperti yang mereka lakukan terhadap kami di Korea. Pemain memahami perancangan permainan dengan baik dan melaksanakannya di atas padang.

“Keadaan cuaca di sini juga sangat berbeza berbanding Korea.

Kedua-dua pasukan bermain dengan intensiti tinggi, tetapi kami berjaya mendapatkan dua gol awal yang memberikan kelebihan,” jelasnya.

Mengulas perubahan formasi meskipun kehilangan tujuh pemain akibat kecederaan, Aidil menjelaskan pendekatan taktikal perlu disesuaikan mengikut kekuatan lawan dan tidak boleh bergantung kepada satu corak permainan semata-mata.

“Kami tidak semestinya menggunakan dua penyerang dalam setiap perlawanan. Ada masanya kami menggunakan seorang penyerang dengan empat pemain menyerang, bergantung kepada lawan.

“Apabila keputusan tiga perlawanan sebelumnya tidak memihak kepada kami, sesuatu perlu diubah.

Perubahan itu menjadikan pasukan lebih baik dan pemain memberikan segala-galanya untuk membuktikan mereka layak bersaing di pentas ini,” tegasnya.

Dua jaringan Safawi Rasid dalam tempoh 20 minit pertama memastikan Kuching City menguasai perlawanan, selain memberikan ruang kepada pasukan mengatur permainan dengan lebih tersusun sehingga tamat aksi.

Dalam pada itu, Aidil turut memuji persembahan Safawi yang muncul wira kemenangan, sambil menegaskan sumbangan pemain sayap kebangsaan itu tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah jaringan semata-mata.

“Safawi bekerja keras sejak hari pertama menyertai pasukan.

Bukan hanya kerana dia menjaringkan dua gol malam ini, tetapi sumbangannya kepada pasukan sudah dapat dilihat sejak awal.

“Keyakinannya semakin meningkat dan dua jaringan berkualiti itu membuktikan kemampuannya. Ini permulaan yang baik buat Safawi dan pasukan,” katanya.

Aidil turut mengingatkan penyokong supaya memahami proses perkembangan Kuching City yang baharu pertama kali beraksi dalam ACL2, sambil menjadikan pengalaman Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai contoh bahawa kejayaan di pentas Asia memerlukan masa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU