SIBU: Lebih 200 nelayan dari seluruh Sarawak mengambil keputusan untuk menghentikan operasi menangkap ikan selama seminggu sebagai tanda protes terhadap polisi yang dikenakan oleh Jabatan Perikanan Sarawak kerana dianggap membebankan.
Pengerusi Persatuan Kapal Nelayan Sarawak (SFVA), Harry Tan Joo Seng, menjelaskan bahawa tindakan ini melibatkan ahli-ahli dari beberapa kawasan seperti Sibu, Miri, Bintulu, Meradong dan Sarikei.

Protes ini, katanya, tercetus akibat pelbagai isu berbangkit, termasuk pemasangan sistem baharu seperti ‘Mobile Tracking Unit’ (MTU) yang menelan kos tinggi.
“Sebahagian besar daripada kami hanya mahu pihak berkuasa mendengar suara kami.
“Jika masalah ini tidak ditangani segera, ia bukan sahaja menjejaskan mata pencarian nelayan tetapi juga berpotensi menaikkan harga ikan, lebih-lebih lagi menjelang perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya ketika ditemui di Jeti Kapal Nelayan SFVA Sibu di Jalan Upper Lanang di sini, hari ini.
Harry menerangkan bahawa antara isu utama yang dibantah adalah arahan memasang MTU untuk bot kelas 2, seperti yang diumumkan oleh Jabatan Perikanan pada dialog yang diadakan pada Jun 2024.
Walaupun pemasangan ini bertujuan meningkatkan keselamatan nelayan, Harry berkata ia tidak sesuai dengan keperluan nelayan di Sarawak yang tidak beroperasi sejauh 200 batu nautika atau memasuki kawasan perairan negara jiran.
“Kami difahamkan kos pemasangan MTU ini adalah lebih RM6,000, selain bayaran sewa tahunan melebihi RM2,000.
“Ini satu beban besar, terutama bagi bot nelayan kecil yang sudah pun bergelut dengan kos operasi tinggi dan pendapatan yang tidak menentu,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan pendekatan Jabatan Perikanan yang memberikan tempoh enam bulan kepada nelayan untuk mematuhi arahan ini, dan mengancam untuk tidak memperbaharui lesen sekiranya mereka gagal memasangnya.
Selain itu, nelayan juga masih berhadapan dengan isu pemasangan Sistem Pengesanan Automatik (AIS) yang bermula sejak 2017.
Menurut Harry, meskipun ramai nelayan telah membayar untuk pemasangan sistem tersebut, ejen yang dilantik oleh Jabatan Perikanan gagal melaksanakan tugas mereka, malah ada yang menghilangkan diri.
“Kami telah membayar, tetapi sistem ini tidak dipasang. Bila perkara seperti ini berlaku, kenapa kami yang dipersalahkan?
“Lebih menyedihkan, sistem ini mungkin menjadi usang tidak lama lagi, dan kami mungkin diarahkan untuk menaik taraf lagi, yang pastinya memerlukan kos tambahan,” ujarnya.
Harru menegaskan bahawa protes itu bukan bertujuan untuk mencabar pihak berkuasa, tetapi sekadar menyampaikan kebimbangan nelayan yang semakin tertekan.
“Kami hanya mahu penyelesaian yang adil dan praktikal.
“Memaksa nelayan mematuhi peraturan tanpa mempertimbangkan kemampuan mereka bukanlah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah.
“Kami berharap pihak berwajib dapat mengadakan dialog yang benar-benar efektif demi kepentingan semua pihak,” tegasnya.
Buat masa ini, sebahagian besar nelayan memilih untuk tidak turun ke laut kerana kebimbangan terhadap kemungkinan dikenakan tindakan sekiranya ditahan tanpa lesen yang sah.
Protes ini, jika berlarutan, berpotensi mengganggu bekalan ikan di pasaran tempatan, sekaligus memberi impak kepada pengguna dan peniaga.



