By Aaron Nichols, Pelatih UKM
KUCHING: Seramai 623 peserta daripada 27 kumpulan dari Kuching dan lapan kumpulan dari luar Kuching akan menyertai Pertunjukan Tarian Rakyat bersempena Festival Kuching. Pertunjukan ini akan berlangsung di Stadium Hoki Sarawak pada hari Ahad ini, bermula jam 7 malam.
Penyertaan yang menggalakkan ini mencerminkan reputasi acara ini sebagai sebuah perhimpunan kebudayaan yang dapat mengeratkan masyarakat.
Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Zaiedie Suhaili berkata, acara yang telah dianjurkan selama 30 tahun itu merupakan satu medium penyatuan antara komuniti selain menjadi sebuah pertunjukan budaya.
“Acara ini akan menjadi platform bagi meraikan kepelbagaian dan memupuk keharmonian dalam masyarakat,” ujar beliau. Beliau berkata demikian ketika mewakili Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng di Bangunan Pejabat MBKS di sini, hari ini.
Ini selaras dengan matlamat Festival Kuching yang diharapkan menjadi tempat perhimpunan untuk semua, tanpa mengira latar belakang dan umur supaya tiada pihak yang terpinggir.
“Saya bangga untuk berkongsi bahawa acara tarian ini merupakan satu daripada Program Penuaan Sihat MBKS, iaitu inisiatif yang menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan warga emas.”
“Melalui tarian, kita bukan sahaja menggalakkan aktiviti fizikal tetapi juga menyediakan ruang untuk meningkatkan kesejahteraan mental serta mengeratkan persahabatan,” katanya.
Tambah beliau, acara ini bukan sekadar sebuah persembahan tarian tetapi juga ekspresi identiti dan budaya yang memupuk warisan serta menggalakkan kesejahteraan.
“Saya percaya ini merupakan usaha yang sangat efektif untuk mempromosikan gaya hidup sihat khususnya bagi warga emas, suri rumah dan mereka yang inginkan keseronokan yang bermakna.”
Zaiedie turut mengajak orang ramai untuk hadir bagi menyaksikan kemeriahan dan keindahan budaya yang akan ditonjolkan pada hari tersebut.
“Marilah kita terus melangkah bersama, bersatu dalam tradisi dan komited untuk memastikan tiada sesiapa yang terpinggir,” tambahnya.
Untuk rekod, Festival Kuching 2025 telah bermula sejak 25 Julai lalu dan akan berlangsung sehingga 17 Ogos ini.

