BAU: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Jalan Singai-Musi, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman memaklumkan siasatan awal mendapati mangsa memandu bersendirian menggunakan sebuah Proton Wira dari arah Bau menuju ke Kuching sebelum kejadian berlaku.


“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Bau pada jam 8.59 pagi,” katanya dalam kenyataan.
Buat masa ini, tambah Mohd Haide, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Katanya, laporan penuh berhubung insiden berkenaan akan dikeluarkan selepas semua maklumat lengkap diperoleh.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati terutama di kawasan yang mempunyai selekoh berbahaya atau permukaan jalan licin bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang,” katanya.




