KUCHING: Tindakan seorang lelaki mengugut hendak membakar rumah keluarganya selepas gagal memperoleh wang sebanyak RM50 yang diminta membawa padah apabila dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh berusia 41 tahun tersebut merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU), mengaku bersalah selepas satu pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya yang berusia 66 tahun di Kampung Haji Baki, sekitar 10 malam, 25 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah perenggan pertama Seksyen 506 kanun keseksaan.
Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 26 Februari lalu.
Menurut fakta kes, kejadian berlaku apabila tertuduh yang tinggal bersama-sama ibu bapanya mengamuk selepas permintaannya untuk mendapatkan wang tidak dipenuhi.
Tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu sering meminta wang daripada ibu bapanya, malah bertindak agresif sekiranya permintaan itu tidak dituruti.
Pada hari kejadian, tertuduh meminta wang sebanyak RM50 daripada ibunya, mengugut hendak merosakkan kereta milik adiknya serta meragut rantai leher ibunya sekiranya tidak diberikan wang.
Ibunya kemudian memberikan RM20 kepadanya, namun tertuduh masih tidak berpuas hati lalu mengeluarkan ugutan hendak membakar rumah keluarga mereka.
Akibat ugutan tersebut, ibu bapanya berasa takut akan keselamatan mereka sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Bertindak atas laporan diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan berjaya menahan tertuduh di kediaman keluarga itu sekitar 9.30 malam pada 26 Februari lalu.
Keluarga tertuduh mengesyaki dia terlibat dengan penyalahgunaan dadah hingga sering mengamuk dan meminta wang.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afiq Safly, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

