SERIAN: Pasukan Serian mengumumkan pertukaran gelanggang bagi aksi suku akhir kedua Liga Premier Sarawak 2025/2026 menentang Kapit yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (SFA), Phillip Jabu berkata, perlawanan berkenaan sebelum ini dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan Siburan.
Bagaimanapun, menurut Phillip, pihaknya terpaksa mengambil langkah drastik dengan memindahkan lokasi perlawanan ke Stadium UNIMAS, Kota Samarahan berikutan faktor yang tidak dapat dielakkan.
“Ekoran permukaan padang di Kompleks Sukan Siburan yang kurang memuaskan, kami terpaksa menukarnya.
“Perlawanan tersebut akan dialihkan ke Stadium UNIMAS, Kota Samarahan,” jelas Phillip kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau menambah bahawa sebelum ini terdapat dua lokasi lain iaitu Kompleks Sukan Serian dan Kompleks Sukan Balai Ringin yang turut berada dalam pertimbangan untuk digunakan.
Namun, kedua-dua padang berkenaan masih ditutup buat masa ini bagi memberi laluan kepada proses penyelenggaraan.
Phillip turut mengesahkan bahawa pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan pasukan lawan.

