KUCHING: Projek pembinaan loji jana kuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) berkapasiti 500 megawatt (MW) di sini kini mencapai tahap 45 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung 2027.
Projek berimpak tinggi bernilai kira-kira RM2 bilion itu merupakan antara komponen utama dalam pelan hala tuju tenaga Sarawak ke arah sistem bekalan elektrik yang lebih stabil, cekap dan beremisi rendah.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, pembangunan loji CCGT Miri itu akan memperkukuh lagi infrastruktur tenaga negeri serta menyokong keperluan permintaan elektrik yang semakin meningkat.
“Projek ini adalah langkah penting dalam memastikan Sarawak memiliki sistem tenaga yang lebih efisien dan berdaya tahan untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai lawatan tapak loji jana kuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) bersama Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki serta Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Jafri Lias.
Tambah beliau, PETROS turut melaksanakan program latihan berstruktur dan Latihan Sambil Bekerja (OJT) bagi melahirkan tenaga mahir tempatan.
“Setakat ini, kira-kira 36 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja projek atau lebih 250 orang merupakan anak Sarawak merangkumi pelbagai kategori pekerjaan termasuk profesional, mahir, separa mahir dan am.
“Selain itu, lebih 30 kakitangan PETROS yang kesemuanya anak Sarawak turut ditempatkan dalam projek ini.
“Lebih 20 jurutera muda dan 88 juruteknik juga telah dilibatkan secara langsung melalui program OJT di tapak projek, selain kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi memperkukuh kemahiran teknikal serta kesiapsiagaan industri,”ujarnya.
Justeru, beliau menzahirkan penghargaan terhadap usaha PETROS dalam membangunkan keupayaan tempatan yang disifatkan penting bagi memastikan kelangsungan operasi serta kemampanan infrastruktur tenaga Sarawak.
“Ia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada anak Sarawak kerana usaha ini turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang negeri,”tambahnya.
Turut hadir, pengurusan tertinggi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Janin Girie dan Naib Presiden Projek Modal, Kidd Enau.


