ARTIKEL

FB Malaysia Airports

Mahu KLIA berkelas dunia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SAYA kerap menggunakan KLIA, sama ada untuk penerbangan domestik atau antarabangsa. 

KLIA yang mula digunakan pada 1998 ialah lapangan terbang terbesar dan paling sibuk di negara ini, serta diiktiraf sebagai hab mega.

Pada 2024, KLIA mengendalikan 57.08 juta penumpang, 794,943 tan kargo dan 819,026 pergerakan pesawat, sekali gus menduduki tempat ke-26 sebagai lapangan terbang paling sibuk di dunia berdasarkan jumlah trafik penumpang.

Tidak lama dahulu, sebuah portal bisnes — Business Financing pernah melaporkan bahawa KLIA menduduki tangga kelapan dalam senarai lapangan terbang paling teruk di Asia, dengan jumlah skor 3.36 yang diberikan oleh pengembara perniagaan. 

Tinjauan adalah berdasarkan data daripada airlinequality. com yang mengambil kira purata penarafan daripada individu yang melancong atas tujuan perniagaan bagi meletak penilaian lapangan terbang di peringkat global mengikut benua dan negara.

Dilaporkan, pelancong sering merungut tentang reka bentuk KLIA sehingga menyebabkan mereka beratur panjang, terpaksa berjalan jauh untuk sampai ke terminal, dan kekurangan kemudahan yang baik dan selesa. 

Para pelancong juga mengkritik sistem pelepas imigresen yang tidak cekap, menyebabkan giliran lebih panjang, selain pencahayaan malap di seluruh lapangan terbang sehingga memberikan suasana yang teruk.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, setiap kajian mahupun pandangan mana-mana pihak tidak boleh diambil sebagai kesimpulan atau tanggapan sebenar memandangkan sekarang ini terlalu banyak kajian yang telah dilaksanakan. Adakah anda bersetuju dengan kenyataan beliau?

KLIA perlu terus dinaik taraf dari segi kemudahan, kelengkapan dan keselesaan pengguna

. Hakikatnya, pak menteri tidak boleh terus mengetepikan dapatan kajian itu begitu sahaja

. Sesiapa yang kerap menggunakan KLIA, pasti tahu akan kelemahan dan kekuatannya.

Setiap lapangan terbang ada kelebihan dan kelemahannya, tetapi kita tentu tidak mahu para pengguna lapangan terbang menganggap KLIA sebagai lapangan terbang berkelas rendah.

Jadi, menteri atau kerajaan tidak harus bersikap defensif atau menolak bulat-bulat hasil kajian berkenaan. 

Saya percaya kalaupun kajian itu tidak 100 peratus betul, pasti ada yang betul atau kritikan membina yang perlu diambil serius oleh menteri dan kerajaan.

Ya, demi kebaikan pengguna dan imej negara.

Ingat, persepsi pertama dan terakhir pelancong dan penumpang sebahagiannya bergantung kepada pengalaman mereka di lapangan terbang. 

Apakah harapan anda ketika mendarat di sesebuah lapangan terbang? Anda bukan sahaja mahu segala perjalanan dan urusan anda lancar, dan tidak berdepan masalah.

Anda juga mahu dilayan dengan baik oleh pihak imigresen, anggota keselamatan dan sebagainya di lapangan terbang berkenaan. 

Bayangkan, selepas anda berada di dalam pesawat berbelas-belas jam dan keletihan, anda terpaksa berbaris panjang, sebelum sampai ke kaunter imigresen.

Dan lebih buruk lagi tidak dilayan dengan mesra oleh pegawainya. Detik yang paling merisaukan saya ketika mendarat di lapangan terbang mana-mana negara ialah ketika berdepan dengan pegawai imigresen.

Apakah yang akan jadi? Adakah saya akan ditanya soalan bertubi-tubi? Adakah saya akan dilepaskan untuk melalui garisan kaunter?

Saya pernah menyaksikan seorang penumpang dari sebuah negara Asia di hadapan saya di Lapangan Terbang Heathrow di London dikemukakan 15 soalan bertubi-tubi?

Penarafan pasport Malaysia di kedudukan ketiga dunia sering menyelamatkan saya dan rakyat Malaysia, tanpa perlu ditanya bermacam-macam soalan di mana-mana lapangan terbang.

Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok sentiasa memikat saya.

Ini ialah lapangan terbang antarabangsa terbesar dan terpenting di Thailand serta antara yang paling sibuk di Asia Tenggara.

Dibuka pada 2006, ia berfungsi sebagai pintu masuk utama ke Thailand bagi penerbangan jarak jauh dari Eropah, Asia Timur, Timur Tengah dan Oceania. 

Keistimewaan utama Suvarnabhumi ialah reka bentuk moden dan berskala besar, dengan terminal penumpang tunggal yang luas serta bumbung kaca yang membolehkan pencahayaan semula jadi.

Lapangan terbang ini dilengkapi kemudahan canggih seperti sistem pengendalian bagasi automatik, pusat beli-belah bebas cukai bertaraf antarabangsa, hotel transit, dan pengangkutan awam yang cekap termasuk Airport Rail Link ke pusat bandar Bangkok. 

Suvarnabhumi menjadi hab utama bagi Thai Airways dan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa, menjadikannya pusat transit penting di rantau ini.

Gabungan kecekapan operasi, kemudahan moden dan perkhidmatan bertaraf dunia menjadikan Suvarnabhumi simbol kemajuan infrastruktur Thailand.

Baru-baru ini, ketika menuju ke London dan Barcelona, saya berkesempatan singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi. Lapangan terbang ini ialah pintu masuk utama Emiriah Abu Dhabi dan salah satu lapangan terbang terpenting di Timur Tengah.

Ia berfungsi sebagai hab utama Etihad Airways, yang menghubungkan Asia, Eropah, Afrika dan Amerika. 

Keistimewaan lapangan terbang ini ialah Terminal A yang moden, luas dan berteknologi tinggi, mampu mengendalikan puluhan juta penumpang setahun.

Reka bentuknya menekankan kecekapan, keselesaan dan kelestarian alam sekitar. 

Kemudahan yang disediakan termasuk kawasan bebas cukai mewah, hotel transit, lounge bertaraf dunia serta sistem imigresen automatik. Lapangan terbang ini juga menawarkan sambungan pengangkutan yang baik ke pusat bandar Abu Dhabi.

Dengan perkhidmatan berkualiti tinggi, operasi cekap dan kemudahan moden, Lapangan Terbang Abu Dhabi mencerminkan imej negara sebagai pusat penerbangan global yang pesat membangun.

Ia menyokong pertumbuhan pelancongan, perniagaan antarabangsa dan peranan strategik Emiriah Arab Bersatu dalam ekonomi serantau dan global moden.

Di sebalik kekurangan KLIA yang sudah berusia 27 tahun, sebenarnya banyak kejayaan telah dicapai. Banyak pembaharuan dan naik taraf telah diusahakan.

Namun, belum memadai untuk mencapai tahap kemodenan, kehebatan, keindahan, dan keselesaan lapangan terbang terhebat dunia. 

Sebenarnya KLIA yang kini mengendalikan 60 penumpang setahun bukan sekadar lapangan terbang tetapi nadi utama yang menggerakkan imej dan ekonomi negara.

KLIA masih antara lapangan terbang yang dapat dibanggakan.

 KLIA masih terbaik Asia untuk kategori keselesaan dan keterhubungan. 

KLIA kekal sebagai hab penting untuk pelancong dari Timur Tengah, Eropah dan Asia Tenggara.

Syarikat penerbangan terbesar seperti Qatar Airways, Emirates, dan Etihad masih menjadikan Malaysia sebagai laluan utama.

Sesuatu yang membanggakan ialah terminal KLIA antara bangunan lapangan terbang yang mencapai status Green Building Index Design Assessment.

Penggunaan cahaya semula jadi, reka bentuk mesra alam, sistem penjimatan tenaga adalah antara kelebihan lapangan terbang ini.

Seyogia diingatkan, lebih 60,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung diwujudkan di KLIA, dengan ribuan syarikat logistik, kargo, hotel, dan industri sokongan bergantung padanya.

Jika ada yang mengkritik keadaan di KLIA, niat mereka baik. Mereka tidak berniat untuk merosakkan imej dan reputasi KLIA.

Sebaliknya, mereka mahu segala kemudahan, kelengkapan dan keselesaan di lapangan terbang utama negara itu terus  ditambah baik.

Ya, agar imej dan reputasinya tidak tercalar agar KLIA dapat menjadi kebanggaan kita semua.

 Kita mahu setiap pengunjung berasa gembira, selesa, selamat dan tenang apabila sampai dan balik ke negara masing-masing

Kita mahu KLIA berdiri sama tinggi dengan lapangan terbang utama dunia.

Justeru, segala kelemahan dan kekurangan perlu segera diperbaiki.

Budaya penyelenggaraan yang baik dan postif perlu sentiasa diamalkan.

Pengunjung dari negara luar, bukan sahaja membandingkannya dengan lapangan terbang lain. Mereka mahu menikmati pengalaman yang hebat di KLIA. 

 Secara spesifik, adakah keadaan tandas di KLIA sentiasa berkualiti dan berbau enak?

Adakah pencahayaan cukup? Adakah terminal cukup luas dan moden?

Adakah sistem keselamatan cekap? Adakah sistem bagasi cekap dan moden?

Adakah kemudahan memeriksa bagasi sama seperti di lapangan terbang lain yang sudah moden?

Adakah pemeriksaan di imigresen memuaskan dan pantas? Adakah bagasi dikendalikan dengan cekap?

Ya, di sebalik dakwaan syarikat penerbangan utama negara yang menyatakan 800 bagasi tidak dikendalikan dengan wajar setiap minggu, bagaimana pula dengan perkhidmatan aerotrainnya setelah kerajaan membelanjakan RM460 juta? 

Jika tidak, para pegawainya perlu berkunjung ke Abu Dhabi, Tokyo, London atau Bangkok.

Lihat dan tiru apaapa amalan dan kemudahan terbaik di sana. KLIA tidak boleh gagal, apatah lagi dengan sasaran 47 juta pengunjung melawat negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia pada tahun ini. Jangan malukan negara di pintu masuk.

Kita harus memberi perkhidmatan berkelas dunia di KLIA dengan belajar daripada perkhidmatan bertaraf dunia di lapangan terbang lain di dunia.

Tidak usah lagi memberi seribu satu alasan. Ini masa untuk menyediakan kemudahan yang terbaik dan memberi perkhidmatan berkelas dunia.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah pengembara yang sentiasa kagum dengan lapangan terbang di Bangkok, Tokyo, Hong Kong, Dubai dan Abu Dhabi.

BERITA LAIN

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira

Langit Kalimantan bertukar jingga

JAKARTA: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda

BERITA TERBARU

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat