IGAN: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di sekitar Batang Igan ditamatkan semalam selepas mangsa yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari tongkang sejak 19 September lalu ditemukan di sebuah parit besar di kawasan ladang kelapa sawit, malam tadi.
Menurut Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), mangsa ditemukan orang awam kira-kira tiga kilometer ke hulu dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

“Mangsa berjaya dibawa keluar dari lokasi pada kira-kira 8.50 malam sebelum dikenal pasti oleh dua rakan sekerjanya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Penemuan dan pengenalpastian mangsa membawa kepada penamatan rasmi operasi SAR Batang Igan yang melibatkan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) serta beberapa agensi berkaitan.
Sementara itu, menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Matu, mangsa ditemukan dalam keadaan kehilangan beberapa anggota badan.
Pihak operasi kemudian menjalankan tindakan lanjut bagi tujuan pengesahan serta pengurusan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Operasi SAR kemudian ditamatkan secara rasmi pada 10 malam selepas empat hari usaha pencarian dijalankan.



