KUCHING: Seorang lelaki berusia 66 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan mayat telah mereput di ruang tamu rumahnya di Taman Seng Goon, di sini, selepas dipercayai tidak keluar dari kediamannya hampir 10 hari.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintenden Merbin Lisa berkata, pihaknya menerima maklumat daripada jiran mangsa kira-kira jam 3.45 petang semalam.
“Sepasukan polis dari Balai Polis Sungai Maong dihantar ke lokasi sebaik menerima laporan.
“Pemeriksaan mendapati mayat mangsa yang tinggal seorang diri sudah berada dalam keadaan reput,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Merbin, mayat berkenaan kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk proses bedah siasat.
Polis kini meminta sesiapa yang mengenali mangsa tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Balai Polis Sungai Maong, Inspektor Awang Ramzi Awang Junaidi di talian 019-8444123 atau menghubungi balai polis itu di talian 082-420469, katanya.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.

