BINTANGOR: Penduduk Kampung Rumah Panjang Dadat gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki yang ditemui terapung di Sungai Lepah dekat sini, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering berkata, pihaknya menerima panggilan telefon berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.55 pagi daripada seorang penduduk yang menemui mayat berkenaan ketika sedang memasang pukat.
“Susulan maklumat tersebut, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong digerakkan ke lokasi kejadian.
“Dengan bantuan penduduk Rumah Panjang Dadat, mayat mangsa berjaya dibawa naik ke daratan sebelum tindakan lanjut dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.
Tansli menambah, mayat lelaki itu kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sarikei bagi tujuan dokumentasi dan pemeriksaan lanjut.
Pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan fizikal pada tubuh mangsa dan tiada parut suntikan BCG dikesan.
Pengecaman seterusnya dilakukan oleh rakan sekerja mangsa dari Sibu yang mengesahkan si mati merupakan seorang lelaki warganegara Indonesia.
Mangsa sebelum ini dilaporkan terjatuh dari sebuah kapal, selaras dengan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Ulu Lanang, Sibu (Rpt: 165/2026).
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR) dan siasatan dikendalikan oleh Timbalan Ketua Polis Balai Bintangor, Sarjan Mujok Seli.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Bintangor di talian 084-693 222.


