ARTIKEL

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Mekanisme Sita Aset, Penjara Tambahan Jika Pemandu Mabuk Gagal Bayar Pampasan Dirangka – Loke

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka mekanisme sitaan aset serta hukuman penjara tambahan terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang gagal membayar pampasan kepada mangsa atau waris kemalangan jalan raya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata langkah itu, bagi memastikan perintah pampasan di bawah pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) benar-benar memberi pembelaan kepada keluarga terjejas, terutamanya jika pesalah mendakwa tidak mempunyai kemampuan kewangan.

“Mengikut peruntukan sedia ada dalam akta lain, kalau pesalah tidak mampu bayar pampasan, mungkin ada hukuman denda atau penjara yang lebih berat sebagai tambahan.

“Kita juga sedang melihat sama ada sitaan terhadap aset pesalah boleh dibuat, supaya pampasan itu benar-benar disalurkan kepada waris,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena), berhubung jaminan pembelaan kepada waris sekiranya pesalah kemalangan maut tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar pampasan.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Ahmad mengenai pindaan Akta 333 bagi membolehkan punca kuasa terhadap pemberian pampasan kepada ahli keluarga mangsa pemandu mabuk, Loke berkata Kementerian Pengangkutan bercadang membentangkan pindaan itu di Parlimen, pada awal tahun depan.

Mengulas lanjut berhubung langkah pencegahan, Loke berkata kerajaan akan turut merombak pelaksanaan sistem mata demerit yang disifatkan kurang berkesan ketika ini, kerana pemotongan mata hanya berlaku selepas pesalah menjelaskan saman, sekali gus mengurangkan elemen pencegahan.
— BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU