KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bakal menganjurkan Kempen Beli Balik barangan kitar semula di tempat letak kereta Pusat Komersial berdekatan JPJ Batu 11, bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, pada 28 November ini.
Kempen tersebut termasuk pembelian balik Sisa Elektrik/Elektronik (B.E.E.), Pengumpulan Minyak Masak Terpakai dan Sumbangan Pakaian Terpakai.
Menurut kenyataan media MPP, kempen itu dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, Jabatan Alam Sekitar (JAS), DNS Waste Management Sdn. Bhd., Kim Huang Enterprise, dan Yayasan Tzu Chi Kuching.
Kempen Beli Balik adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan dan komitmen MPP ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, hijau dan sihat untuk penduduk Padawan.
Pengerusi MPP, Tan Kai, menggesa penduduk tempatan untuk membawa barang kitar semula mereka untuk program pembelian balik atau menderma pakaian terpakai mereka untuk tujuan yang lebih baik.
Beliau berharap melalui kempen ini, penggunaan tapak pelupusan sampah dan pencemaran alam sekitar dapat diminimumkan melalui pengasingan sisa pepejal yang betul.
Untuk maklumat lanjut, orang awam boleh mengikuti laman Facebook rasmi MPP (Majlis Perbandaran Padawan).




