ARTIKEL

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Kullin Djayang

Nilai semula kriteria pengambilan guru di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyeru Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk menilai semula kriteria pengambilan guru di Sarawak bagi memastikan hanya calon yang benar-benar berkualiti dilantik sebagai pendidik.

Presiden STU Kullin Djayang berkata, sistem pengambilan guru sedia ada menunjukkan beberapa kelemahan dan perlu diberi perhatian serius agar pengambilan guru tidak dilakukan secara terburu-buru.

“Sejak pengambilan khas guru seperti yang dilaksanakan di Sarawak, terdapat kebimbangan berkenaan pengambilan itu mengakibatkan ramai guru lulusan kolej swasta mendapat penempatan di sekolah-sekolah seluruh Sarawak.

“Jika kita ingin mendapatkan bilangan guru yang mencukupi, tidak bermaksud kita boleh mengambil mana-mana calon yang memiliki ijazah pendidikan semata-mata.

“Kami amat meragui proses ini, memandangkan kebanyakan graduan kolej swasta tidak melalui saringan ketat seperti Ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEDSI), Ujian Kelayakan Calon Guru (UKELP), psikometrik dan temuduga khas.

“Selain itu, aspek fasiliti kuliah, kualiti pensyarah dan latihan keguruan di sesetengah kolej swasta turut menimbulkan persoalan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semasa sesi temuduga, pihak SPP juga perlu mengambil kira pencapaian akademik calon sejak peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana terdapat pelajar yang gagal atau kurang cemerlang dalam SPM dan STPM, namun mengikuti kursus ijazah pendidikan di kolej swasta dan seterusnya diambil menjadi guru.

Tegasnya, keputusan SPM dan STPM bukanlah syarat utama untuk memasuki kolej swasta, berbeza dengan IPTA dan IPG yang menetapkan syarat kemasukan minimum seperti 5A di peringkat SPM, purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.0 di peringkat STPM serta tahap tertentu dalam Malaysian Universiti English Test (MUET).

Jelasnya lagi, semua proses pengambilan guru seharusnya dilakukan secara teliti untuk mendapatkan bakal pendidik yang berkualiti, yang secara tidak langsung mengangkat martabat profesion perguruan dan melahirkan modal insan yang cemerlang.

“Jika mereka berasal dari IPTA seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan sebagainya, kita sudah pasti tahu bahawa kualiti ijazah dan calonnya lebih terjamin.

“Untuk memasuki program Ijazah Pendidikan di IPTA, calon perlu mempunyai sekurang- CGPA 3.0 dan Band 3 dalam MUET, serta perlu melalui ujian MEDSI dan begitu juga bagi pelajar yang terpilih ke IPG bagi program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), mereka diwajibkan memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam SPM, serta lulus ujian UKELP atau psikometrik, ujian kecergasan dan temuduga khas,” tambahnya.

Kullin yakin bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan juga Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) semestinya mahukan calon guru yang benar-benar berkualiti, terdiri daripada mereka yang cemerlang sejak di peringkat awal pendidikan.

“Kami tidak menuduh secara melulu mana-mana kolej, namun STU menyeru agar SPP sebagai badan berkuasa dalam pengambilan guru dapat menyemak dan menilai dengan teliti sama ada kolej tersebut memenuhi piawaian latihan keguruan.

“Setiap negara mengimpikan sistem pendidikan terbaik dan pembangunan modal insan yang unggul,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU