ARTIKEL

Nur Di Penghujung Senja

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ALANG SHIMA

“KAMU TAHU, aku selalu menunggu engkau datang. Kalau bukan kerana engkau hanya muncul pada waktu senja, aku mungkin tak akan menunggu dekat bawah pohon rendang ini.

“Sudahlah banyak semut merah, habis digigitnya badan aku ini. Sakit tahu, tak?”

Nur ketawa terkekek-kekek. Cahaya senja yang menghulur wajah itu semakin menyerikan Nur yang berpakaian serba putih dan berselendang kuning.

Dalam dunianya, waktu senjalah gerbang ke dimensi manusia terbuka. Semenjak tahun lalu, dia sentiasa melihat kehadiran gadis ini duduk bersendiri di bawah pohon rendang.

Kadang-kadang bercakap seorang diri. Kadangkala tersenyum di antara tangisan.

Rasa simpati membuatkan dia meminta dari bondanya untuk singgah ke dunia manusia mendekati gadis ini.

Ada kesedihan yang melambung hayatnya ke persimpangan.

Tiada sesiapa sudi menghulur tangan lalu menanyakan perihal adakah kedukaan dan malang yang sedang menimpa hingga dia acapkali bercakap dan ketawa sendiri.  

Hati kecilnya tidak tegar melihatnya berterusan begini.

Semenjak itu, Nur akan datang menemui Laila di sini.

“Maafkan aku, Laila. Salahku.

Hari ini bagaimanakah khabarmu?” lembut bicara Nur mengalirkan keamanan dalam hati Laila.

SIMPATI

Namun, gadis ini mendengus kecil. Matanya kelihatan merah dan sembap.

“Nur, aku ingin sekali ke duniamu.

Di sini, dunia seolaholah membantaiku tanpa simpati. “Ayah, ibu dan kakakkakakku, mereka tak pernah mempedulikanku.

Hanya kerana kelainan ini menjadikanku berbeza. Sayang tidak pun mekar.

Benci datang bertandang,” nada sebak Laila mengundang kesedihan di hati Nur.

Nur tidak menjawab kerana jawapan kepada pertanyaan Laila adalah penolakan.

Andai sahaja dia mampu membawa Laila keluar dari sini, sudah tentu hari ini Laila tidak akan menangis.

Hari pertama kali dia mengetahui nasib malang hidup Laila, hatinya ditikam oleh belati.

Tatkala dia memberitahu  tentang Laila kepada bondanya, tidaklah mencapai persetujuan atas sebab-sebab tertentu.

“Laila, kamu tahu betapa istimewanya kamu di sini. Kelak, kamu tidak akan dipersoalkan apa-apa pun, malah Tuhan memberikan syurga tanpa syarat.

“Keluarga kamu tak pernah membencimu. Hanya kesabaran mereka memuncak kerana ulah kamu.

Benar, hatiku ini kecewa dan sedih asbab kelakuan mereka, tapi aku memahaminya, Laila.”

WAJAH

Laila diam. Dia menekur tanah yang membiaskan bayang hitamnya.

Tangan kanannya lincah menguis-nguis ke tanah tanpa memalingkan wajahnya ke Nur.

Ada kekecewaan yang melingkari dirinya. Saat ini dia mula merasakan Nur sama seperti ahli keluarganya.

Dia membandingbandingkan asbab Nur gagal memahami.

“Laila..” Laila langsung tidak bergerak. Kepalanya menunduk membiarkan alur air matanya membasahi tanah. Sebentar lagi, azan Maghrib berkumandang.

Jika dia lambat pulang pasti berbirat lagi tubuh kecilnya itu.

Nur memandang dengan pandangan sayu.

Dia tidak boleh lama di sini.

Serentak azan berbunyi, dia mesti segera kembali ke dunianya.

Pertemuan hari ini umpama mendung kelam melindungi cahaya kegembiraan mereka berdua.

Sebelum ini, pertemuan mereka sentiasa dihiasi gelak ketawa. 

BERITA LAIN

PEJUANG NAFKAH

Dia tidak pernah ambil tahu jika wang di saku sering berbaki cukup-cukup nyawa. Dia tidak pernah peduli kalau ringgit makin mengukuh merujuk ungkapan orang ekonomi.

GELANDANGAN

Melintasi kedai serba ada kulihаt dia berbaring santai menyesak ruang masуk ke pintu kedai pelanggan lalu-lalang memandang sinis menutup hidung. Kita ini miskin atau kaya

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,