KUCHING: Pemindahan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) ke bawah Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan diyakini mampu memperkukuh pembangunan warisan serta merancakkan lagi industri pelancongan di bandar raya ini.
Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah penstrukturan semula itu membuka ruang kepada perancangan yang lebih tersusun selain membolehkan pelaksanaan inisiatif berkaitan warisan dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.
“Sejak penubuhan OKSHE pada 2018 di bawah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), pelbagai program dan acara berskala besar berjaya dilaksanakan termasuk ketika berdepan cabaran pandemik COVID-19.
“Kerjasama antara OKSHE dan DBKU sebelum ini sangat baik dan berjaya mengangkat Kuching sebagai bandar raya yang hidup, bersih serta kaya dengan budaya dan warisan,” katanya ketika berucap sebelum menyaksikan penyerahan OKSHE di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Ujarnya, Kuching mempunyai pelbagai keunikan termasuk kepelbagaian etnik, agama serta sejarah yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Beliau juga memaklumkan bahawa prestasi industri pelancongan Sarawak ketika ini berada pada tahap membanggakan dengan hasil pelancongan melebihi RM1 bilion sebulan.


“Namun kita tidak boleh menawarkan produk yang sama berulang kali.
“Kita perlu melakukan pembaharuan dengan memperkenalkan produk baharu agar pelancong sentiasa mempunyai sebab untuk kembali,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan untuk mewujudkan zon warisan khusus seperti yang dilaksanakan di beberapa destinasi lain termasuk Pulau Pinang dan Melaka bagi memudahkan usaha pemuliharaan dan promosi.
“Pewujudan zon tersebut juga memerlukan sokongan perundangan yang jelas bagi memastikan bangunan dan kawasan warisan dilindungi secara berkesan.
“Tanpa peruntukan undang-undang, usaha pemeliharaan akan menjadi sukar. Kita tidak mahu elemen tarikan seperti mural atau bangunan bersejarah hilang begitu sahaja,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mencadangkan agar pembangunan dimulakan secara berfokus di beberapa kawasan berpotensi sebelum diperluaskan ke lokasi lain, antaranya India Street dan Masjid Tambi yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.
Mengulas lanjut, Abdul Karim menegaskan bahawa OKSHE bukan sekadar ruang geografi, tetapi merupakan jiwa hidup sejarah Sarawak yang merangkumi bangunan, budaya, makanan dan masyarakatnya.
“Struktur organisasi yang jelas amat penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan peranan OKSHE di bawah kementerian.
“Tanpa struktur yang kukuh, sukar untuk kita bergerak secara berkesan. Semua pihak perlu berganding bahu dan tidak bekerja secara silo,” tambahnya.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman dalam ucapannya berkata, sepanjang tempoh OKSHE berada di bawah DBKU, pelbagai inisiatif berjaya dilaksanakan bagi memperkasa warisan bandar raya Kuching.
“Antara pencapaian tersebut termasuk penganjuran acara berskala besar, pengindahan kawasan warisan serta pelaksanaan program interaktif yang berjaya menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Walaupun berdepan cabaran pandemik sebelum ini, usaha mempromosikan warisan Kuching tetap diteruskan dengan pendekatan kreatif termasuk penggunaan teknologi digital,” katanya.
Menurut beliau, penyerahan OKSHE kepada kementerian merupakan langkah strategik bagi memastikan usaha pemuliharaan dan promosi warisan dapat diperkasa dengan sokongan sumber serta rangka kerja yang lebih menyeluruh.
“DBKU akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian bagi memastikan kesinambungan usaha ini demi kepentingan pembangunan bandar raya Kuching.
“Kementerian juga memiliki kelebihan dalam pelbagai aspek termasuk kepakaran, sumber serta keupayaan strategik untuk merangka dan mentadbir pelaksanaan OKSHE dengan lebih terancang, dinamik dan cemerlang,” ujarnya.
Majlis serah terima OKSHE disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Morshidi Fredrick dan Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta Penasihat OKSHE, Datuk Dr Sabariah Putit.


