SARIKEI: Cubaan dua lelaki melarikan kabel yang dipercayai dicuri terbantut selepas mereka ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis di sebuah kawasan perumahan di daerah ini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 30 dan 23 tahun ditahan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai tangkapan awam kira-kira jam 11.35 malam pada 8 Ogos lalu.
Katanya, sejurus menerima maklumat berkenaan, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) SK 111 dikerahkan ke lokasi untuk mengambil alih tangkapan dan menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua lelaki terbabit.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui sebuah kereta Proton Iriz yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan, selain dua guni berisi beberapa potongan kabel serta sebilah pemotong kabel.
“Pemeriksaan di sekitar kawasan perumahan itu turut menemukan kesan kabel yang dipotong dan keadaan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan kabel di lokasi,” katanya.

Aswandy berkata, kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke balai polis untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Katanya, saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka masing-masing positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Polis turut mengingatkan orang ramai supaya segera menyalurkan maklumat sekiranya melihat sebarang pergerakan mencurigakan atau aktiviti berkaitan pencurian kabel bagi membolehkan tindakan pantas diambil.


