KUCHING: Majikan yang terlibat dalam Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) berpendapat inisiatif tersebut bukan sahaja membuka peluang baharu kepada prospek untuk kembali ke masyarakat, malah turut membantu mereka mendapatkan tenaga kerja yang sangat diperlukan.
Pemilik sebuah kedai makan, Mohamad Awet Mohd Lukman berkata, beliau mengambil prospek untuk bekerja di kedai miliknya sejak tiga tahun lalu.
“Bagi saya, program PBSL ini sangat bagus kerana ia membantu majikan yang sering menghadapi kesukaran mencari pekerja. Selain itu, ia memberi peluang kepada bekas banduan untuk memulakan hidup baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS selepas program PBSL Ihsan Madani: Kepulangan Yang Dinanti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 di Penjara Puncak Borneo, hari ini.
Menurut Mohamad Awet, beberapa prospek yang diambil telah berjaya membuktikan kemampuan mereka dan ada yang masih kekal bekerja di premisnya sehingga kini.
Sementara itu, pengurus kedai yang turut terlibat dalam program PBSL, Khairunnisa Mohammad Sharkawi, berkongsi pengalaman positif sejak menyertai program tersebut.
“Kami mula bekerjasama dengan Penjara Puncak Borneo sejak Mac tahun lepas. Setakat ini, kami mempunyai 15 orang pekerja dan kali ini kami mengambil dua lagi prospek.
“Kami memberi peluang kepada mereka untuk bekerja dan memulakan hidup baharu, bukan sahaja untuk diri mereka, tetapi juga keluarga mereka,” ujarnya.
Khairunnisa turut menambah bahawa walaupun terdapat pelanggan yang mengetahui latar belakang prospek, mereka tidak mempermasalahkannya kerana sikap dan prestasi kerja yang baik ditunjukkan oleh pekerja berkenaan.
Kedua-dua majikan itu sepakat bahawa pemberian peluang kedua bukan sahaja membantu prospek membina semula kehidupan, malah memberi impak positif kepada masyarakat.
Dengan sokongan berterusan daripada majikan dan komuniti, program PBSL dilihat mampu membantu prospek menjalani kehidupan lebih stabil, sekali gus menyumbang kepada keharmonian sosial serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat. – TVS

