ARTIKEL

Timbalan Presiden PDP Datuk Henry Jinep ketika ditemu-bual selepas merasmikan Bengkel Etika Wartawan 2024 anjuran PEWARTA di sebuah hotel di Kuching, hari ini.

PDP serah isu kerusi DUN Bawang Assan, Engkilili kepada kepimpinan tertinggi GPS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Parti Demokratik Progresif (PDP) menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung pertikaian tentang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili dan Bawang Assan, kata Timbalan Presiden PDP, Datuk Henry Jinep.

Ini kerana kedua-dua kerusi itu, yang secara tradisi merupakan milik Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), kini disandang oleh dua pemimpin tertinggi PDP.

“Kami serahkan kepada kepimpinan tertinggi GPS, kami tidak ada hak untuk menuntut kerusi tersebut,” katanya.

Beliau ditemu bual selepas mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, yang juga Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing, untuk merasmikan Bengkel Etika Wartawan 2024 anjuran Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching (PEWARTA) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Kerusi DUN Bawang Assan disandang oleh Datuk Seri Wong Soon Koh, yang merupakan Naib Presiden Kanan PDP manakala kawasan DUN Engkilili disandang oleh Naib Presiden PDP, Dr Johnical Rayong Ngipa.

Sebelum ini, Soon Koh dan Dr Rayong merupakan Presiden dan Timbalan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB).

PSB merupakan parti pembangkang tempatan namun mengambil keputusan untuk membubarkan parti itu dan menyertai PDP, yang merupakan parti komponen GPS.

Sementara itu, Henry, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), menegaskan bahawa persefahaman PDP dengan bekas pemimpin PSB itu adalah demi mencapai keharmonian dalam politik Sarawak.

“Kami hanya mahukan Sarawak menjadi lebih aman.

“Ini terbukti kerana apabila mereka masuk PDP, anda tidak lagi mendengar apa-apa politik, anda tidak melihat sesiapa yang menghentam antara satu sama lain, ia sudah senyap,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menghormati tindakan SUPP yang mempertahankan kedua-dua kerusi tradisi mereka itu.

“Sudah pasti semua parti komponen dalam GPS akan mempertahankan kerusi masing-masing, siapa yang mahu berikan kerusi?

“Tapi saya percaya, pada akhirnya kita mesti memenangi kerusi itu, itu penting.

“GPS mesti menang semua kerusi dan semua parti harus kembali kepada GPS,” katanya.

Menurutnya, setakat ini tiada rundingan dibuat antara PDP dengan SUPP berhubung kedua-dua kerusi itu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU