KUCHING: Penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bergantung kepada jenis kesalahan yang diperuntukkan di bawah akta berkenaan.
Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkap Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, hanya kesalahan yang disenaraikan dalam jadual SOSMA boleh dikenakan tindakan mengikut akta tersebut.
“Kadang-kadang orang tidak faham. Mereka ingat semua kesalahan boleh dikenakan SOSMA.

“Bukan sebab kita tidak mahu SOSMA, tetapi undang-undang tidak membenarkan.
“Kalau rasa perlu, kita kena pinda undang-undang dahulu, kena pergi ke Parlimen dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata polis menggunakan SOSMA terhadap 23 individu yang ditahan sebelum ini kerana disyaki terbabit dalam kegiatan kongsi gelap dan jenayah terancang.
Menurutnya, kesemua mereka masih berada dalam penjara walaupun prosiding perbicaraan belum bermula kerana proses dokumentasi masih dijalankan.
“Geng 24 Hung-Hung yang ditangkap sebelum ini sampai sekarang di dalam penjara walaupun perbicaraan masih belum berjalan.
“Itulah kelebihan kalau gunakan undang-undang SOSMA,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang ditahan di bawah SOSMA tidak dibenarkan diikat jamin, kecuali dalam keadaan tertentu seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 13 akta berkenaan.
“Ada syaratnya seseorang dalam tahanan SOSMA diberi jamin, tetapi kebanyakan masa dan kes, mahkamah tidak membenarkan,” katanya.
Pada 16 April lalu, Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menahan kesemua lelaki warga tempatan berusia antara 19 hingga 44 tahun dalam beberapa serbuan di sekitar Kuching, Samarahan, Padawan dan Simunjan menerusi Op Pusak Merah.


