4. Berdasarkan Orientasi Teori Kritikan H. Abrams dalam bukunya The Mirror and The Lamp (1980: 3-29), mengatakan bahawa karya sastera hendaklah difahami dalam situasi secara menyeluruh (the total situation of a work of arts).
Menurut Abrams, kritikan sastera harus dibezakan kepada empat jenis, iaitu kritikan mimetik, kritikan pragmatik, kritikan ekspresif, dan kritikan objektif.
Penjelasan empat jenis kritikan tersebut seperti yang berikut:
i Kritikan Mimetik
Kritikan ini diasaskan oleh dua ahli falsafah atau pujangga klasik Barat iaitu Aristotle dan Plato.
Kritikan ini memandang bahawa karya sastera itu sebenarnya peniruan yang didapati daripada aspek-aspek alam termasuk manusia yang berada dalamnya.
Hal ini merupakan pencerminan atau perwakilan tentang dunia dan kehidupannya.
Kriteria utama yang dikenakan pada karya sastera ialah “kebenaran” lewat perwakilan objek-objek yang digambarkan atau yang hendak digambarkan.
Kata istilah mimesis itu sendiri merupakan tiruan daripada segala aspek yang ada di alam semesta.
Justeru ada dua hal yang saling berkaitan dalam mimesis, iaitu antara yang ditiru (iaitu alam semesta, kehidupan dan karya sastera) dan tiruannya (karya sastera baharu sebagai hasil saduran atau ciptaan semula dan versi gubahan baharu).
ii. Kritikan Pragmatik
Merupakan kritikan sastera yang bertujuan untuk mendapat kesan-kesan mendalam tertentu kepada pembaca. Kesankesan tersebut contohnya untuk mendapatkan manfaat kesenangan estetika, manfaat pendidikan.
Manfaat kepekaan batin dan sosial, manfaat menambah wawasan kehidupan, manfaat pengembangan kejiwaan atau keperibadian kepada pembaca dan manfaat pembelajaran politik.
Kritikan ini cenderung menimbang nilai berdasarkan pada keberhasilan mencapai tujuan, sebagai alat atau sarana untuk mendapatkan sesuatu yang diharapkan.
Justeru kritikan pragmatik ini berorientasikan pada kegunaan atau kemanfaatan karya sastera kepada pembaca.
iii. Kritikan Ekspresif
Orientasi kritikan sastera ini menghubungkan karya sastera dengan pengarang/penulis.
Ukuran kejayaan sesebuah karya sastera dianggap sebagai sarana curahan, luapan emosi, ucapan, projeksi atau ekpresi perasaan dan fikrah pengarang.
Sebenarnya, penulis sendiri yang menjadi isi utama yang melahirkan atau menerbitkan persepsi, fikiran dan perasaan yang bergabung ke dalam suatu bentuk karya sastera.
Puncak kritikan ekspresif pada latar belakang kehidupan penulis, kesedaran budaya penulis, wawasan hidup penulis, proses kreatif penulis dan reaksi atau respon penulis mendepani konflik atau masalah kehidupan manusia.
Dalam kehidupan seharian manusia di jagat raya ini, paling mininum terdapat lapan masalah dasar kehidupan manusia, iaitu maut, tragedi, cinta, harapan, penyerahan, kepasrahan atau pengabdian, kekuasaan, makna, dan tujuan.
Dalam aspek sejarah, kritikan sastera ekspresif berusaha mencari genetik atau asal-usul naskhah karya: bagaimana karya sastera diciptakan, apa menjadi motif yang menggerakkan latar penciptaan karya sastera, dan apa yang menjadi acuan atau model transformasi dunia kepengarangan.
iv. Kritikan Objektif
Suatu bentuk kritikan sastera yang menanggapi karya sastera sebagai kerja yang boleh berdiri sendiri (mandiri), bebas daripada pengaruh lingkungan sekitarnya, bebas daripada mata pena pengarangnya, bebas daripada persepsi dalam kotak fikir pembaca, dan dunia sekelilingnya.
Karya sastera ialah sebuah dunia yang dapat melepaskan diri daripada siapa penulisnya dan lingkungan sosial budayanya.
Karya sastera harus dilihat sebagai objek dan subjek yang mandiri serta dapat menunjulkan struktur pengucapan bebas tanpa apa pun kompromi.
Oleh sebab itu, karya sastera harus serba mencukupi pada keseluruhannya, tersusun rapi antara bahagian-bahagian hingga terjalin erat dan padu, serta menghendaki pertimbangan analitikal intrinsik berdasarkan karya sastera itu sendiri, seperti kompleksiti (terperinci), koherensi (bertaut), keseimbangan, integriti (kepercayaan tinggi) dan saling berhubungan antara unsur-unsur yang membentuknya.
Dalam kritikan objektif ini terjalin dengan jelas antara konsep-konsep linguistik (kebahasaan) dan pengajian kesusasteraan, contohnya berdasarkan kepada analisis yang dikemukakan oleh A. Teeuw seperti iaitu konvensi bahasa, konvensi sastera, dan konvensi budaya (A. Teeuw, 1983).
Atau boleh juga menggunakan analisis intrinsik seperti yang diterapkan oleh Rene dan Austin tentang puisi, iaitu efoni, irama dan mantera, stilistik dan gaya, dan citra, metafora, simbol dan mitos (Rene Wellek and Austin Warren, 1989) dalam bukunya Literature Theories.
Dalam buku tersebut, Rene dan Austin menyarankan tiga aspek utama ketika menganalisis ragam naratif cerpen dan novel, iaitu alur, sebagai struktur naratif, penokohan, sebagai penentu kejadian atau peristiwa, dan (3) latar, sebagai tempat bermainnya peristiwa (Rene Wellek and Austin Warren, 1989).



