ARTIKEL

Foto: Magnific.com

PELIHARA AKIDAH, lindungi keluarga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Dalam dunia yang semakin moden, cabaran terhadap akidah umat Islam bukan sahaja datang dari luar, bahkan juga dari dalam masyarakat sendiri.

Kemunculan ajaran sesat yang berselindung di sebalik nama Islam semakin membimbangkan.

Ada pihak yang menggunakan pendekatan kerohanian, perubatan alternatif, malah mendakwa menerima mimpi dan ilham untuk menarik pengikut.

Justeru, setiap Muslim wajib berwaspada agar tidak terjerumus ke dalam kesesatan yang boleh merosakkan akidah.

Allah SWT memberikan peringatan agar umat Islam berpegang teguh pada ajaran yang benar dan tidak mengikuti jalan yang menyeleweng.

Firman-Nya: “Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutinya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya.” (Surah al-An‘am, ayat 153)

Rasulullah SAW juga bersabda: “Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan menyaksikan banyak perselisihan.

“Oleh itu, hendaklah kamu berpegang teguh pada sunnahku dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin yang mendapat petunjuk.” (Hadis riwayat Abu Daud)

BERCANGGAH DENGAN AJARAN ISLAM

Antara ciri utama ajaran sesat termasuklah ajaran yang bercanggah dengan prinsip asas Islam, sama ada dari sudut akidah, syariat mahupun akhlak.

Ajaran sesat lazimnya membawa tafsiran agama yang menyimpang serta tidak berlandaskan al-Quran dan sunah yang sahih.

Sebagai contoh, terdapat ajaran yang mendakwa pemimpinnya ialah “Imam Mahdi” atau mempunyai kedudukan istimewa sehingga tidak perlu lagi melaksanakan tuntutan syariat seperti solat dan puasa.

Dakwaan ini jelas bertentangan dengan firman Allah SWT: “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu ketetapan, mereka mempunyai pilihan yang lain dalam urusan mereka.” (Surah al-Ahzab, ayat 36)

Selain itu, terdapat juga kumpulan yang mendakwa menerima wahyu selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Dakwaan ini merupakan kesesatan yang nyata kerana Rasulullah SAW ialah penutup sekalian nabi. Sabda Baginda: “Tiada lagi nabi selepasku.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Contoh lain ialah ajaran yang menghalalkan perkara haram, seperti pergaulan bebas, dengan alasan “kasih sayang kerohanian” atau “penyucian jiwa”. 

Perbuatan tersebut bertentangan dengan hukum syarak yang ditetapkan dengan jelas. Islam tidak pernah menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.

MEMELIHARA AHLI KELUARGA

Peranan menjaga keluarga daripada pengaruh ajaran sesat merupakan tanggungjawab yang besar bagi setiap Muslim.

Ibu bapa khususnya perlu memastikan ahli keluarga menerima pendidikan agama yang sahih agar tidak mudah terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka…” (Surah al-Tahrim, ayat 6)

Ayat ini menunjukkan kewajipan memelihara akidah diri dan keluarga daripada kesesatan.

Antara langkah yang boleh diambil ialah memberikan pendidikan agama yang kukuh kepada anak-anak dengan menerapkan asas akidah, ibadah dan akhlak sejak kecil agar mereka mampu menilai sesuatu ajaran dengan betul.

Selain itu, dalam era digital, ajaran sesat boleh tersebar melalui media sosial.

Oleh itu, ibu bapa perlu peka terhadap kandungan yang ditonton dan dipelajari oleh ahli keluarga.

Sekiranya timbul sebarang keraguan berkaitan agama, perkara tersebut hendaklah dirujuk kepada ulama yang muktabar, bukannya kepada individu yang tidak jelas latar belakangnya.

Di samping itu, amalan seperti solat berjemaah, membaca al-Quran dan menghadiri majlis ilmu perlu dibudayakan dalam keluarga kerana amalan tersebut dapat membentuk benteng akidah yang kukuh. 

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kesimpulannya, ajaran sesat merupakan ancaman besar kepada umat Islam kerana boleh merosakkan akidah dan kehidupan.

Oleh itu, setiap individu hendaklah berpegang teguh pada ajaran al-Quran dan sunah serta sentiasa berwaspada terhadap sebarang ajaran yang meragukan.

BERITA LAIN

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,