KUANTAN: Seorang pemandu jengkaut maut selepas jentera berat yang dikendalikannya terbalik sewaktu menjalankan kerja pembersihan di Tasik Bera, Bera, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bera Superintenden Zulkiflee Nazir memaklumkan bahawa pihak polis menerima laporan mengenai insiden itu pada pukul 2.10 petang membabitkan mangsa, Alief Daniel Haqim Abdullah, 26, manakala seorang lagi pekerja, Muhammad Aiman Fikri Mohd Azhar, 28, berjaya menyelamatkan diri.
Menurut beliau, ketika kejadian tersebut berlaku terdapat dua orang pekerja di lokasi berkenaan dengan mangsa disahkan terperangkap di dalam jentera terbabit.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Mohd Salahuddin Isa menjelaskan bahawa mangsa yang ditemukan terperangkap di bahagian kabin berjaya dikeluarkan pada pukul 4.10 petang sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke hospital berdekatan bagi membolehkan proses bedah siasat dijalankan seperti dilapor Bernama.

