SIBU: Seorang pemandu lori maut dipercayai disebabkan oleh serangan sakit jantung ketika memandu yang menyebabkan kenderaannya melanggar sebuah kenderaan lain ketika di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, kemalangan itu berlaku sekitar jam 11.36 pagi.

“Kemalangan berlaku ketika kenderaan jenis pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun berhenti semasa lampu isyarat merah di persimpangan lampu isyarat jalan Tun Zaidi Adruce.

“Semasa berhenti di situ, kenderaannya kemudian telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun yang disyaki mengalami serangan sakit jantung,” kmenurutnya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Akibat kemalangan itu, jelasnya lagi, pemandu lori terbabit didapati berada dalam keadaan terbaring di dalam lori.
Bagaimanapun, menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik.
Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, iaitu memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.



