ARTIKEL

Abang Johari merasmikan Jambatan Batang Lupar 1 sambil disaksikan oleh hadirin yang lain. Foto Ramidi Subari

Pembatalan Projek Jambatan Batang Lupar 1: Ada Udang Di Sebalik Batu – Abang Johari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEBUYAU: Pembatalan projek Jambatan Batang Lupar 1 selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 tahun 2018 disifatkan ada ‘udang di sebalik batu” kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau turut mempersoalkan bahawa peruntukan projek berkenaan digunakan untuk membina Jalan Penghubung Sabah-Sarawak (SSLR) dengan mengambil kira tempoh pelaksanaan projek berkenaan yang hanya bermula pada tahun lalu.

“Ada orang mengatakan itu naratif salah, tapi saya mengatakan di sini, kalau benar dana untuk SSLR, SSLR baharu diusahakan tahun lalu. Ini berapa lama dah?”

“Memang ada udang sebalik batu. Tetapi kita di Sarawak bertahan, dan dengan adanya perpaduan erat di antara rakyat Sarawak, dan kami dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat menyelesaikan masalah dana, kita teruskan usaha kita untuk menghubungkan kawasan luar bandar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jambatan Batang Lupar 1, di sini hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak bukan sahaja menggunakan dananya sendiri untuk membina Jambatan Batang Lupar 1, malah Jambatan Batang Lupar 2 termasuk jambatan-jambatan yang lain di negeri ini.

Abang Johari berucap pada perasmian Jambatan Batang Lupar 1. Foto Ramidi Subari

Abang Johari dalam ucapannya sebelum ini berkata, naratif berkaitan pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 perlu diperbetul dengan fakta.

Beliau berkata, pembinaan jambatan tersebut merupakan permintaan rakyat di kawasan berkenaan termasuk wakil rakyat ketika itu, Datuk Seri Rohani Abdul Karim sebelum diluluskan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, projek berkenaan diluluskan bagi menyediakan kemudahan perhubungan kepada rakyat khususnya menghubungkan kawasan Sri Aman dan Betong dengan Kuching.

Bagaimanapun, beliau berkata, kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum 2018 dan pertukaran kerajaan kepada Pakatan Harapan (PH) menyaksikan Jambatan Batang Lupar 1 bersama beberapa projek jambatan lain di Sarawak seperti Rambungan dan Igan dibatalkan.

“Saya selaku pemimpin dengan rakan-rakan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), kita kata, dia batal, kita ambil alih jambatan ini dan harganya agak tinggi.

“Jadi ada pemimpin takut berkata kepada saya, ada duitkah? Itu terpulang kepada kita, kita boleh mencari. Akhirnya GPS meneruskan keputusan untuk membina jambatan ini dengan dana kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama Kerajaan Sarawak turut berdepan cabaran lain termasuk isu pembayaran pinjaman RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan ketika memohon bantuan bagi menaik taraf sekolah daif di negeri ini.

Katanya, ketika itu turut timbul dakwaan bahawa Sarawak akan berdepan masalah kewangan dalam tempoh tiga tahun susulan perbelanjaan besar untuk pembangunan luar bandar termasuk infrastruktur.

Namun katanya, Sarawak membuktikan kemampuan kewangannya apabila terus melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk jalan raya dan jambatan.

“Mereka mahu kita susah, mahu rakyat Sarawak susah. Mereka rasa kita akan teruk, tetapi orang Sarawak belum teruk kerana kita mempunyai kemampuan sendiri. Hari ini jelas Sarawak dapat membangunkan infrastruktur jalan dan juga jambatan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU