ARTIKEL

Wilfred Yap

Pengorbanan Wan Junaidi kemenangan bersejarah buat Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin mengakui kejayaan Tuan Yang di-Pertua Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam mempertahankan hak Sarawak dahulu merupakan kemenangan bersejarah yang membetulkan ketidakseimbangan perlembagaan yang berlaku sekian lama.

Menurutnya, ia termasuk pengorbanan Wan Junaidi dalam mempertahankan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pindaan Perlembagaan Persekutuan tahun 2021 yang memulihkan pengiktirafan Sarawak dan Sabah sebagai rakan setaraf dalam pembentukan Malaysia.

“Ini merupakan kemenangan bersejarah dan perlembagaan yang membetulkan ketidakseimbangan yang berlaku sejak sekian lama serta mengukuhkan kedudukan MA63 dalam undang-undang tertinggi negara.

“Ini mengesahkan bahawa hak Sarawak terhadap tadbir urus sendiri, sumber dan identiti adalah hak perundangan yang mesti dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Justeru, beliau menyokong sepenuhnya seruan Wan Junaidi agar masyarakat bersatu mempertahankan Sarawak melalui pendidikan, kompetensi dan integriti.

Beliau pada masa sama komited membangunkan generasi muda yang memahami asas perlembagaan dan tanggungjawab moral sebagai anak Sarawak.

“Ucapan TYT semasa Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Sarawak (UTS) baru-baru ini bukan sekadar pesanan kepada para graduan tetapi merupakan peringatan besar tentang siapa kita sebagai rakyat Sarawak dan apa yang harus kita pertahankan.

“Saya menyeru para graduan muda, terutama di Kota Sentosa, untuk mencari bukan sahaja pekerjaan malah tujuan hidup dengan menggunakan ilmu dan kemahiran bagi membina, berinovasi serta menyumbang secara bermakna kepada komuniti dan negeri.

“Masa depan Sarawak akan ditentukan oleh sejauh mana kita mampu mencipta kekuatan, ilmu dan integriti kita sendiri,” katanya.

Wilfred turut memuji langkah Kerajaan Sarawak menubuhkan Jabatan Ombudsman yang menjadi model tadbir urus bersih dan bertanggungjawab serta mencerminkan tekad negeri untuk bertindak dengan integriti dan ketelusan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU