KUCHING: Semua anggota polis perlu menekankan kepentingan disiplin serta pematuhan peraturan bagi memastikan keberkesanan pasukan.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, walaupun pelbagai arahan dan peringatan telah dikeluarkan berikutan pengajaran daripada kejadian lalu, isu berkaitan disiplin masih berlaku dan perlu diberi perhatian serius.

“Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Kuching perlu proaktif dalam mengambil tindakan dan mengesan sebarang salah laku melibatkan pegawai kanan, pegawai rendah dan pegawai awam polis,” katanya pada Perhimpunan Bulanan IPD Kuching hari ini.
Alexson menambah semua ketua bahagian, ketua cawangan, penyelia dan ketua polis balai perlu memastikan sistem penyeliaan serta pemantauan dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap mana-mana anggota yang melanggar peraturan tanpa sebarang kompromi.
ACP Alexson menyeru semua anggota memainkan peranan aktif dan bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan pengawasan berkesan serta mencegah sebarang salah laku pegawai yang diselia.
Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap potensi banjir berikutan fasa Monsun Timur Laut yang dijangka membawa hujan lebat khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

“Pegawai dan anggota polis perlu memastikan kesiapsiagaan aset, kenderaan dan peralatan berada pada tahap optimum bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kerjasama dengan agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta pihak berkuasa tempatan juga penting bagi memudahkan operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa banjir,” katanya.
Alexson menekankan kepentingan menyampaikan nasihat keselamatan kepada masyarakat termasuk mengelak meredah jalan yang dinaiki air, mematuhi arahan pemindahan serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.
Beliau turut mengingatkan bahawa sambutan musim perayaan Krismas dijangka meningkatkan pergerakan kenderaan dan orang ramai di jalan raya.
“Pegawai dan anggota yang terlibat dalam penguatkuasaan lalu lintas digesa melaksanakan tugas dengan integriti, profesionalisme dan penuh berhemah.
“Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, memandu dengan berhati-hati, mematuhi had laju serta memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum bergerak. Kesabaran dan kewaspadaan di jalan raya amat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.


