SETIAP insan pasti menyimpan impian untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang diminati.
Namun, ada juga dalam kalangan kita yang tersasar jauh daripada cita-cita asal lalu akhirnya jatuh cinta kepada sesuatu yang langsung tidak dijangka.
Itulah yang terjadi kepada saya, seorang siswazah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang memulakan kerjaya pertama sebagai wartawan di akhbar Utusan Sarawak pada Ogos 2022.
Sejujurnya, menjadi wartawan bukanlah minat saya, apatah lagi cita-cita utama semasa kecil.
Dunia kewartawanan langsung tidak terlintas di fi kiran saya ketika mula melangkah ke alam pengajian tinggi. Namun, disebabkan keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu, saya memberanikan diri menyertai dunia media yang begitu luas, dinamik dan mencabar.
Siapa sangka percubaan yang saya anggap sebagai pengalaman sementara itu akhirnya membawa saya kepada satu bentuk penghargaan terhadap kerjaya ini.
Malah, saya jatuh cinta padanya tanpa sedar.
Pada awalnya, saya menganggap tugas seorang wartawan hanya menulis berita, menemu ramah beberapa individu penting dan menyiarkan laporan tersebut dalam akhbar atau portal berita.
Namun, sangkaan saya ternyata meleset. Hakikat dunia kewartawanan sebenar amat jauh berbeza daripada apa yang saya bayangkan selama ini.
Kepekaan terhadap isu semasa, baik dalam mahupun luar negara, merupakan aspek utama yang perlu ada dalam diri setiap wartawan. Wartawan bukan sahaja berfungsi sebagai penyampai maklumat tetapi juga menjadi penghubung antara rakyat dengan pemimpin serta jambatan antara realiti dengan kebenaran.
Saya masih teringat pengalaman pertama menghasilkan laporan berita.
Dengan penuh semangat dan rasa bangga, saya menulis artikel pertama dengan gaya yang saya fi kir sudah cukup profesional dan mantap.
Apabila disemak oleh editor, saya hampir tidak dapat menahan rasa malu apabila diberitahu bahawa gaya penulisan saya seolah-olah seperti karangan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ya, karangan SPM yang penuh dengan bahasa berbunga, ayat panjang meleret dan kadangkala tidak relevan dengan isi sebenar berita.
Saya ketawa sendirian mengenangkan saat itu, pengalaman yang bukan sahaja lucu tetapi cukup bermakna.
Melalui teguran itu, saya belajar bahawa dalam dunia kewartawanan, gaya penulisan mestilah ringkas, padat dan tepat. Ia perlu tertumpu pada isi penting sahaja tanpa hiasan atau retorik bahasa yang tidak membantu pemahaman pembaca.
Meskipun permulaan saya agak janggal dan penuh dengan pembetulan serta teguran, ia tidak mematahkan semangat untuk terus belajar dan memperbaiki diri.
Dunia kewartawanan bukan sahaja mengajar saya menulis dengan lebih baik, malah membentuk saya menjadi seorang yang lebih peka, teliti dan berani menghadapi cabaran.
Setiap tugasan lapangan menjadikan saya lebih yakin berkomunikasi, lebih berdisiplin dalam menyusun jadual kerja dan lebih bertanggungjawab terhadap maklumat yang saya laporkan kepada masyarakat.
Salah satu perkara yang paling saya hargai dalam kerjaya ini ialah peluang untuk bertemu dan berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat, daripada ahli politik, pegawai kerajaan, penduduk kampung, aktivis masyarakat sehinggalah pelajar sekolah.
Setiap individu yang saya temui mempunyai cerita dan pandangan yang unik.
Saya sedar setiap berita yang ditulis bukan sekadar laporan sematamata tetapi suara rakyat yang perlu didengar dan diberi perhatian oleh semua pihak.
Kerjaya wartawan juga melatih saya bersikap tenang dalam menghadapi tekanan.
Tidak dinafikan terdapat banyak situasi apabila saya terpaksa menyiapkan artikel dalam tempoh singkat atau menghadiri beberapa sidang media dalam satu hari yang sama.
Namun, semua cabaran ini memberikan saya kekuatan dalaman untuk menjadi lebih cekap mengurus masa serta menentukan keutamaan kerja.
Dalam kesibukan harian itu, saya belajar erti komitmen dan tanggungjawab yang tinggi terhadap tugas serta hasil kerja.
Antara kelebihan besar dalam bidang kewartawanan ialah peluang untuk terus belajar setiap hari. Isu yang dilaporkan saban hari membuka mata saya terhadap realiti masyarakat, dasar kerajaan, peristiwa antarabangsa serta pelbagai cabang ilmu yang mungkin tidak pernah saya pelajari secara formal di universiti.
Wartawan sebenarnya ialah pelajar sepanjang hayat.
Mereka membaca, mendengar, melihat dan menyampaikan maklumat dengan penuh integriti serta tanggungjawab kepada masyarakat. Selain itu, dunia kewartawanan juga memberi peluang kepada saya untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan masyarakat.
Melalui penulisan, saya dapat mengetengahkan isu yang sebelum ini mungkin terpinggir, membuka ruang kepada perbincangan awam serta kadangkala membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat.
Ia memberikan satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila saya tahu bahawa hasil kerja saya memberi impak positif kepada kehidupan orang lain.
Walaupun saya bermula tanpa minat yang mendalam dalam bidang ini, kerjaya ini akhirnya menjadi sebahagian daripada hidup dan jiwa saya.
Saya belajar untuk menyayangi dunia kewartawanan bukan kerana populariti atau glamor, tetapi kerana nilai dan peranannya yang besar dalam membentuk masyarakat berpengetahuan dan berinformasi.
Ia mungkin bukan kerjaya yang sentiasa dipandang tinggi oleh semua orang, tetapi bagi saya, menjadi wartawan ialah satu penghormatan dan amanah yang perlu dijunjung dengan penuh tanggungjawab.
Kini selepas lebih tiga tahun bergelar wartawan, saya dapat menyatakan dengan penuh keyakinan bahawa keputusan untuk mencuba bidang ini ialah antara keputusan terbaik dalam hidup saya.
Saya bersyukur kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada bidang media dan berharap dapat terus menyumbang dalam dunia kewartawanan dengan semangat yang sama seperti hari pertama melangkah masuk ke bilik berita.
Pengalaman pertama sebagai wartawan mungkin bermula dengan sedikit kekeliruan dan banyak pembelajaran, tetapi dari situlah saya bermula.
Dari situlah juga saya menemui satu cinta yang tidak disangka, iaitu cinta terhadap kebenaran, ilmu dan suara rakyat.



