ARTIKEL

FOTO | Magnific

Perkasa dakwah digital

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Dakwah Islam merupakan satu tanggungjawab besar yang dipikul oleh setiap Muslim dalam usaha menyebarkan ajaran Islam yang syumul, seimbang dan penuh hikmah.

Dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi masa kini, pendekatan dakwah perlu diperkasa agar mampu menembusi pelbagai lapisan masyarakat dengan lebih berkesan.

Dakwah bukan sekadar menyampaikan ajaran Islam, tetapi juga membimbing, mendidik dan membentuk akhlak manusia ke arah keredaan Allah SWT.

Tanggungjawab berdakwah bukan hanya terletak pada bahu mereka yang mempunyai gelaran tertentu seperti ustaz, pendakwah dan sebagainya, malah merupakan tanggungjawab bersama-sama setiap Muslim untuk menyebarkan Islam ke seluruh pelosok dunia.

Hal ini penting agar manusia memahami bahawa Islam ialah agama yang membawa mesej kedamaian dan keamanan. Selain itu, perintah untuk berdakwah telah dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran.

“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, serta berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl: 125)

Ayat ini menekankan dakwah hendaklah dilaksanakan dengan kebijaksanaan, kelembutan dan pendekatan yang sesuai dengan keadaan mad’u (sasaran dakwah). Pendekatan yang kasar serta bersifat menghukum tanpa hikmah boleh menjauhkan manusia daripada Islam.

Selain itu, Rasulullah SAW juga menunjukkan contoh terbaik dalam berdakwah.

Baginda bersabda: “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menggambarkan setiap Muslim mempunyai peranan dalam menyampaikan mesej Islam walaupun dengan ilmu yang sedikit, asalkan disampaikan dengan benar dan penuh tanggungjawab.

PENDAKWAH CELIK TEKNOLOGI

Dalam konteks semasa, memperkasakan dakwah Islam memerlukan penggunaan teknologi digital seperti media sosial, platform video dan aplikasi komunikasi.

Golongan muda khususnya lebih mudah didekati melalui medium tersebut. Oleh itu, pendakwah perlu celik teknologi serta kreatif dalam menyampaikan mesej agar lebih menarik dan mudah difahami.

Kandungan dakwah juga perlu relevan dengan isu semasa seperti kesihatan mental, cabaran sosial dan nilai kekeluargaan supaya Islam dilihat sebagai solusi kepada pelbagai permasalahan kehidupan.

Di samping itu, aspek akhlak pendakwah juga memainkan peranan penting dalam keberkesanan dakwah. Keperibadian yang baik, tutur kata yang lembut serta sikap penyayang mampu menarik hati masyarakat.

Rasulullah SAW berjaya menyebarkan Islam bukan sahaja melalui kata-kata, tetapi juga melalui akhlak baginda yang mulia.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh teladan yang baik bagi kamu.” (Surah al-Ahzab: 21)

DAKWAH UNTUK SEMUA

Dakwah juga perlu bersifat inklusif dan tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja. Dakwah hendaklah merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Pendekatan dialog, toleransi dan sikap saling memahami amat penting dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia. Hal ini selaras dengan prinsip Islam sebagai agama rahmatan lil ‘alamin, iaitu rahmat kepada seluruh alam.

Selain itu, institusi keluarga dan pendidikan juga perlu diperkasakan sebagai asas dakwah. Ibu bapa memainkan peranan utama dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai Islam sejak kecil.

Sekolah dan institusi pendidikan pula perlu memastikan kurikulum yang seimbang antara ilmu duniawi dengan ukhrawi agar dapat melahirkan generasi Muslim yang berilmu serta berakhlak mulia.

Kesimpulannya, memperkasakan dakwah Islam memerlukan usaha bersepadu daripada semua pihak. Pendekatan yang berhikmah, penggunaan teknologi, akhlak mulia serta kesedaran tentang tanggungjawab bersama-sama merupakan kunci kejayaan dakwah.

Dengan usaha yang berterusan dan ikhlas, dakwah Islam mampu berkembang serta memberi manfaat kepada seluruh manusia, seterusnya membawa mereka ke jalan yang diredai oleh Allah SWT.

BERITA LAIN

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,