ARTIKEL

Gambar hiasan

Perolehan Koperasi Rayang Serian meningkat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Koperasi Rayang Serian Berhad melakar sejarah apabila berjaya mencatat peningkatan ketara dalam perolehan dan pengurusan perniagaan mereka tahun lepas.

Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin berkata, kejayaan itu dikecapi apabila kini mempunyai sistem e-Pay yang ditawarkan oleh GHL Malaysia Sdn. Bhd.

“Koperasi Rayang Serian Berhad telah membuktikan latihan, bimbingan dan pendidikan yang diberi oleh pihak IKMa mampu mengubah kedudukan koperasi tersebut.

“Kejayaan ini dilakar setelah pelbagai usaha dilakukan mereka termasuk mengikuti program Million Ringgit Coop League (Miricle) yang dianjurkan oleh IKMa Zon Sarawak yang dijalankan secara berkala sepanjang 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Turun Padang Jom@ Coop Mempromosi Latihan dan Pendidikan Koperasi 2025 dan Bicara Ilmu Penternakan Ayam dan Penelur: Potensi Jana Pendapatan Koperasi di sini, semalam.

Willie juga Ahli Majlis Institut Koperasi Malaysia (IKMa) menambah, melalui sistem e-Pay ini koperasi dapat membayar semua jenis bil utiliti dan menjual tambah nilai seperti Sesco, Astro, Unifi, Lembaga Air Kuching, TM, Celcom, Maxis, Digi dan sebagainya.

Dalam masa yang sama sistem e-Pay tersebut membolehkan bayaran menggunakan debit kad oleh pelanggan semasa membeli belah di kedai koperasi, katanya.

“Kemudahan ini secara tidak langsung meningkatkan jumlah perbelanjaan anggota di kedai koperasi.

“Koperasi Rayang juga terlibat dalam perniagaan pembayaran cukai jalan dan insurans kenderaan bermotor serta memperbaharui lesen memandu tamat tempoh,” jelas beliau.

Dalam masa sama kata Willie, pada 13 September 2024, koperasi sekali lagi mencapai satu langkah ke depan apabila membeli sistem pos untuk memudahkan aktiviti jual beli dan rekod belian serta stok kedai runcit mereka.

Sepanjang tempoh setahun bimbingan daripada IKMa, koperasi ini telah mencatat peningkatan pendapatan antara 23 hingga 37 peratus setelah mempelbagaikan perniagaan mereka, ujarnya.

“Bahkan mereka berjaya membangunkan sebanyak empat aturan perniagaan dan pentadbiran koperasi mereka,” katanya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU