ARTIKEL

Pertemuan semula Tunku Azizah dan Missclyen sarat emosi kasih sayang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Hanya dengan satu pelukan ketika Kembara Kenali Borneo oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan keluarga diraja Pahang pada tahun 2023, ketika memayungi negara sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Sarawak, hati seorang permaisuri terusik.

Kini, selepas dua tahun berlalu, pelukan itu kembali — kali ini di Kuching, apabila Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertemu semula dengan Missclyen Roland, anak kecil istimewa yang berjaya menyentuh hati Baginda.

Pertemuan penuh kasih di kafe Commons The Old Court House, Jalan Tun Haji Openg semalam menjadi saksi hubungan istimewa yang terjalin antara keluarga diraja Pahang dan keluarga kecil dari Bintulu itu.

Missclyen, kini berusia empat tahun, dilahirkan dengan penyakit Hypertrichosis atau Sindrom Werewolf yang menyebabkan wajah dan tubuhnya diselaputi bulu halus.

KASIH… Pertemuan penuh kasih antara Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah bersama Missclyen Roland serta keluarganya di kafe Commons The Old Court House, Jalan Tun Haji Openg semalam. Foto: Kesultanan Pahang.

Namun di sebalik keistimewaan itu, kasih dan perhatian yang dicurahkan oleh Tunku Azizah menjadikan kisahnya begitu menyentuh hati.

Pertemuan pertama mereka di Bintulu dua tahun lalu berlaku secara tidak dirancang. Menurut Tunku Azizah, Baginda terlihat anak kecil itu ketika keluar dari masjid lalu segera mendekatinya.

“Saya nampak budak itu datang dekat saya. Saya panggil Tuanku dan saya dukung dia.

“Tuanku pun terperanjat sebab tidak pernah melihat keadaan begitu. Tapi bila saya dukung, saya rasa sayang dan kasihan padanya,” titah Baginda menerusi laporan media tempatan tahun lepas.

Rasa kasih itu akhirnya membawa kepada keputusan besar — Missclyen diambil sebagai anak angkat oleh Raja Permaisuri Agong.

Dalam sepucuk surat bertarikh 10 Oktober 2023, Baginda menzahirkan hasrat untuk menanggung sepenuhnya kos pendidikan dan perubatan anak kecil itu agar dia dapat membesar dengan lebih baik.

“Beta akan menanggung perbelanjaan bagi mengubati penyakit Hypertrichosis yang dihadapinya. Beta berharap bantuan ini dapat meringankan sedikit beban Tuan dalam menjaga dan membesarkan Missclyen,” titah Baginda dalam surat berkenaan.

Berita gembira itu disambut dengan linangan air mata oleh keluarga Missclyen.

Kakaknya berkongsi di laman Facebook bahawa mereka tidak pernah menyangka kasih seorang permaisuri mampu hadir seikhlas itu — bukan kerana simpati, tetapi kerana benar-benar menyayangi adiknya seperti darah daging sendiri.

Kini, setiap kali pasangan diraja menjejak kaki ke Sarawak, Missclyen seolah-olah menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka.

Wajah kecilnya yang dahulu hanya dilihat di media sosial kini berada dalam dakapan kasih seorang permaisuri yang menjadikannya sebahagian daripada keluarganya sendiri.

Kisah Missclyen bukan sekadar kisah istimewa tentang penyakit atau nasib, tetapi tentang kasih manusia yang tulus, yang melangkaui darjat dan sempadan.

BERITA LAIN

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira

Langit Kalimantan bertukar jingga

JAKARTA: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda

BERITA TERBARU

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat