BELAGA: Inisiatif Kerajaan Sarawak bagi menghidupkan semula perayaan Pesta Saviek Adet Kajang sangat penting dan bertepatan untuk mengetengahkan adat suku kaum tersebut agar tidak hilang ditelan arus zaman.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai, berkata penganjuran semula pesta tersebut pada tahun 2022 dapat mengetengahkan identiti dan keunikan suku kaum Kajang.

Katanya, usaha ini akan memelihara dan menyokong kepelbagaian yang akan membantu memperkukuhkan kesatuan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat tempatan.
Selain itu, tambahnya, ia dapat memupuk nilai-nilai tradisional seperti kesopanan, keharmonian, dan kerjasama.
“Warisan budaya juga merupakan sumber potensi ekonomi yang besar.
“Promosi dan pemeliharaan budaya tradisional di Sarawak boleh membangunkan pelancongan budaya yang berkesan, meningkatkan pendapatan tempatan, dan menyediakan peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan.
“Memahami budaya dan adat resam pelbagai kaum di Sarawak membantu dalam usaha meningkatkan kebijaksanaan dan pemahaman dalam kalangan masyarakat tempatan.
“Ini membina jambatan kefahaman antara komuniti yang berbeza dan membawa kepada penghargaan yang lebih mendalam terhadap kepelbagaian budaya,” kata Sikie.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pesta Adet Saviek Kajang 2024 di Uma Kejaman Neh, Long Liten, Belaga semlam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Digital Malaysia merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong, Pemangku Pegawai Daerah Belaga, Dora Lujah, serta tetamu lain.
Beliau menambah, budaya dan adat resam menjadi titik persamaan di antara pelbagai kaum di Sarawak yang memperkuatkan hubungan sosial antara komuniti yang berbeza serta menggalakkan toleransi dan kerjasama.
Justeru, katanya, Sarawak wajar dijadikan ‘role model’ di Malaysia sebagai sebuah negeri yang mampu mengekalkan perpaduan kaum dan toleransi pelbagai kaum berbilang agama.
“Suasana toleransi and rasa hormat yang cukup tinggi dan jitu ini diperakui oleh pemimpin negeri bertuah ini yang diterajui oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya lagi.
Sementara itu, Ugak dalam ucapannya menyeru kepada kaum Kajang untuk mengekalkan identiti mereka yang telah diwarisi sejak dahulu lagi seperti pakaian tradisional.
Katanya, pakaian tradisional yang unik dan lain daripada yang lain ini harus diguna dan dipamerkan pada majlis atau program seperti ini supaya kaum lain atau orang luar yang datang ke Belaga dapat mengenali kaum ini.
“Begitu juga dengan adat dan budaya tradisi kita yang lain yang harus dipromosikan untuk dilihat dan diketahui oleh kaum lain,” ucapnya.
Berdasarkan rekod, terdapat enam etnik yang tergolong di dalam suku kaum Kajang, iaitu Kejaman, Sekapan, Punan, Lahanan, Sihan dan Tanjong.
Pada majlis sama, Sikie mengumumkan bantuan dana kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Uma Kejaman Neh berjumlah RM20,000, Biro Wanita RM15,000 dan Biro Belia RM15,000.
Ugak turut mengumumkan dana berjumlah RM20,000 bagi penganjuran pesta tersebut.
Pesta Adet Saviek Kajang merupakan satu pesta yang disambut oleh suku kaum Kajang selepas musim menuai sebagai tanda kesyukuran dan terima kasih kepada Tuhan di atas hasil tuaian pada tahun sebelumnya.
Pesta kali ini diadakan selama empat hari bermula pada 27 hingga 30 Jun ini dengan pelbagai acara, aktiviti dan persembahan.



