KUCHING: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Tourism Malaysia memperkenalkan pakej perjalanan “Health-cation” kepada petugas kesihatan di Bintulu sebagai penghargaan sumbangan mereka.
Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, inisiatif itu merangkumi tambang penerbangan pergi dan balik pada kadar diskaun dari Sibu atau Bintulu ke Kuala Lumpur, selain tawaran penginapan hotel, akses ke taman tema dan pelbagai pakej pelancongan yang lain.

Dengan sokongan Batik Air, katanya petugas kesihatan boleh menikmati tambang istimewa RM69 sehala dan RM138 pergi balik.
“Tempoh tempahan pakej bermula pada 1 September 2025 hingga 31 Mac 2026, manakala perjalanan sah dari 1 September 2025 hingga 30 Jun 2026,” katanya.
Menjelas lanjut, Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, hotel-hotel di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) turut menawarkan sekurang-kurangnya 10 peratus bagi potongan kadar bilik.
“Taman tema utama seperti Splash Mania, Sunway Lagoon dan Genting SkyWorlds juga menyediakan pelbagai diskaun bagi tiket masuk dan pakej khas,” tambahnya.
Ujar beliau, manfaat berkenaan kini diperluas kepada semua kategori petugas kesihatan termasuk jururawat, doktor, pegawai farmasi dan kakitangan sokongan sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
Beliau berkata demikian menerusi laman Facebook rasminya selepas menghadiri Majlis Penghargaan Kesihatan Bahagian Bintulu yang turut dihadiri Press Metal, di Bintulu, malam tadi.
Tiong turut merakamkan penghargaan kepada Press Metal Bintulu kerana menyumbangkan mesin ‘X-ray ultraportable’ sejak 2023.
Beliau berkata, sumbangan itu membantu meningkatkan jumlah imbasan diagnostik daripada 1,216 kepada 2,236 tahun ini serta memperluas akses rawatan di kawasan luar bandar dan sukar dicapai.

